AM

JENAZAH TIGA BERADIK SELAMAT DIKEBUMI

21/08/2018 08:21 AM

BACHOK, 21 Ogos (Bernama) -- Jenazah tiga beradik, yang maut selepas kenderaan dinaiki merempuh sebuah lori di Kilometer 19, Jalan Lipis-Merapoh-Gua Musang dekat Padang Tengku, Pahang, semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Keluat, Beris Kubur Besar di sini, awal pagi tadi.

Jenazah Mimi Suziana Mohamed, 39, Norfasmida, 24, dan Ahmad Faris, 16, dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira 3.40 pagi tadi.

Turut maut ialah rakan Norfasmida, Nur Farah Farahainsah Jaafar, 21, dari Kampung Tok Sidi, Meranti, Pasir Mas, Kelantan yang juga penuntut Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan, dalam kejadian kira-kira  9.50 pagi itu.

Suasana pilu mengiringi ketibaan jenazah ketiga-tiga beradik itu yang tiba di tanah perkuburan pada 2.40 pagi dengan tiga van jenazah.

Jenazah kemudian disembahyangkan buat kali terakhir oleh sanak-saudara dan penduduk kampung.

Sementara itu, adik kelima mangsa, Nor Faizal, 31, berkata arwah kakaknya, Mimi Suziana bercadang untuk mengorbankan seekor kambing sempena Aidiladha yang akan disambut esok.

Beliau berkata kambing itu dibeli beberapa bulan lepas dan diternak ayahnya untuk sambutan berkenaan.

"Mimi Suziana adalah anak ketiga manakala Norfasmida anak ketujuh dan Ahmad Faris merupakan anak kesepuluh daripada sebelas beradik.

"Mereka bertiga memang rapat dan tidak pernah berpisah dan sering pulang ke kampung bersama-sama," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan