AM

USIM BEKERJASAMA DENGAN UTM PADA PERTANDINGAN SDME 2018 DI DUBAI

01/10/2018 05:19 PM

NILAI, 1 Okt (Bernama) -- Kira-kira 37 pelajar dari Pasukan Rumah Solar Mizan akan menyertai pertandingan Solar Decathlon Middle East (SDME) 2018 di Dubai, projek mega yang melibatkan penyelidikan dan pembangunan komprehensif dalam membangunkan prototaip rumah berkuasa solar.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Datuk Dr Roshada Hashim berkata projek yang dikenali sebagai Mizanhome ialah kerjasama antara USIM dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk mendidik dan menyediakan pelajar mendepani cabaran Industri 4.0.

"Apabila menamatkan pengajian tidak lama lagi, mereka akan menjadi sebahagian daripada pasukan multi disiplin dengan mempelajari isu-isu teknikal, kerja berpasukan, kemahiran komunikasi, gaya hidup lestari dan isu-isu sosio ekonomi untuk memastikan daya maju projek.

"Kali ini cabaran dalam pertandingan SDME adalah untuk membina sebuah rumah yang direka dan disesuaikan dengan cuaca panas, berdebu dan kelembapan tinggi seperti di Timur Tengah.

Semua cadangan mesti memberi tumpuan kepada menyelesaikan isu-isu dan keperluan untuk kehidupan yang mapan di rantau itu. Jadi, saya berharap pasukan Mizanhome melakukan yang terbaik dalam pertandingan di Dubai dari Oktober hingga Disember ini, "katanya pada majlis Majlis Perasmian Mizanhome di sini, hari ini.

Turut hadir Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina USIM Prof Dr Kamaruzzaman Seman dan Pengurus Projek Mizanhome dari UTM Prof Dr Muhd Zaimi Abd Majid.

Sementara itu, Pengurus Projek pasukan Mizanhome dari USIM Dr Elina Mohd Husini berkata melalui pertandingan ini, mereka akan melakukan beberapa aktiviti yang menyerlahkan hubungan antara industri dan ahli akademik.

“Kami adalah satu-satunya negara wakil dari Asia Tenggara untuk menyertai Solar Decathlon Timur Tengah dan saya berharap dapat melakukan lebih banyak kerjasama dengan universiti tempatan lain, universiti asing dan industri untuk menimba lebih banyak pengetahuan dan juga mempunyai hubungan baik dengan industri dari segi kebolehpasaran, "katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas majlis perasmian.

Projek ini juga mendapat sokongan daripada Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM), agensi kerajaan dan tidak kurang daripada 13 industri rakan kongsi yang berbeza.

Pertandingan SDME 2018 menampilkan 22 finalis dari 16 negara termasuk Australia, Taiwan, Itali, Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi merangka strategi untuk melaksanakan Rumah Solar mampan di Dubai.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan