malay english mandarin arabic espanol fb tw ig

Semangat Perpaduan Bantu Warga Emas

Tarikh kemaskini: 07/12/2018
 

Penyatuan masyarakat majmuk perlu dimulakan di peringkat kanak-kanak. . -- fotoBERNAMA HAKCIPTA TERPELIHARA
Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR (Bernama) – Perpaduan kaum adalah keistimewaan dan keindahan Malaysia yang dikagumi masyarakat luar.

Hakikat ini terserlah dalam kisah yang ingin saya kongsikan bersama pembaca semua.

Ia mengenai seorang wanita warga emas yang sarat menjinjing beg plastik besar di kedua-dua tangannya berjalan dengan langkah yang perlahan di tepi Jalan Tun Razak berhampiran sebuah stesen minyak.

Sambil mengisi minyak di stesen minyak berhampiran, saya memerhati wanita itu, yang nampaknya seperti mahu menyeberangi jalan yang sememangnya diketahui sangat sibuk apa lagi ketika waktu puncak.

Kalau dilihat pada susuk tubuh wanita berbangsa Cina itu dengan kedutan pada wajah serta keseluruhan rambut pendeknya yang sudah beruban, saya anggarkan umurnya mungkin sudah melebihi 70 tahun.

Beberapa kali dia cuba melintas namun terpaksa berpatah balik apabila tiba-tiba beberapa kenderaan meluncur laju ditambah pula ada ketikanya bertali arus.

“Biar betul ‘aunty’ ni nak melintas pada waktu (10 pagi) jalan raya sibuk begini. Aku pun tak berani redah jalan ini,” getus hati kecil saya sebaik melihatnya beberapa kali gagal melintas. Terfikir juga, mungkin dia menuju ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Institut Jantung Negara (IJN) yang terletak tidak jauh di seberang jalan itu.

LALUAN WAJIB

Jalan Tun Razak yang menghubungkan beberapa jalan di bandar raya Kuala Lumpur ini bukanlah asing bagi saya kerana ia adalah laluan wajib untuk ke pejabat yang terletak bersebelahan Perpustakaan Negara.

Sebagai pengguna harian, saya faham benar betapa sibuknya laluan itu khususnya ketika waktu puncak dan pastinya memang sukar untuk melintas.

Biasanya, saya akan menggunakan jejantas yang terletak di hadapan Wisma Sejarah sekiranya mahu menyeberang ke IJN kerana tidak berani mengambil risiko meredah kesibukan trafik yang tidak kenal masanya itu.

“Aunty itu hendak lintas jalan tetapi tak larat naik jejantas kerana dah tua dan kakinya pun bukan kuat sangat. Nak naik teksi mungkin tak mampu,” kata seorang pekerja stesen minyak kepada saya, seolah-olah dapat membaca apa yang mengusik fikiran saya ketika itu.

ARWAH EMAK

Tiba-tiba rasa sayu teringatkan arwah emak. Saya cukup faham keadaan ‘aunty’ itu kerana emak juga mengalami sakit lutut dan berhadapan masalah serupa untuk naik dan turun tangga.

Apatah lagi, untuk menggunakan jejantas yang agak tinggi dan pastinya sukar bagi mana-mana warga emas. Tidak dinafikan, kebanyakan warga emas akan menghadapi masalah serupa.

Menurut satu laporan akhbar, hampir 80 peratus daripada golongan penderita sakit lutut adalah daripada kalangan yang berumur 50 tahun ke atas, selain wanita yang sudah putus haid lebih berpotensi mendapat penyakit itu.

WARGA EMAS

Berbalik kepada warga emas itu, rupa-rupanya bukan saya saja yang sedar akan keadaan warga emas itu, tetapi juga kebanyakan pemandu dan penunggang motosikal yang singgah di stesen minyak itu.

Menyedari betapa sukarnya untuk dia melintas, apatah lagi bahaya yang bakal menanti, beberapa lelaki menghampirinya dan menawarkan pertolongan.

Tiba-tiba kelihatan, tiga orang yang bertindak seperti polis trafik dan cuba memberi isyarat kepada pengguna jalan raya supaya memberhentikan kenderaan.

Manakala dua lagi memimpin tangan wanita warga emas itu untuk menyeberang jalan itu apabila diyakini selamat.

Sesungguhnya tika itu hati saya sangat tersentuh dengan tindakan mereka itu yang terdiri dari kaum Melayu, India dan Cina.

Walaupun tidak saling mengenali, secara spontan mereka bersatu hati membantu warga emas itu. Lega rasanya dengan semangat muhibah seumpama itu yang masih kuat dalam diri rakyat Malaysia, sedangkan pada ketika itu masing-masing mengejar masa untuk ke pejabat.

Realitinya, perhubungan seperti itu bukanlah asing di negara kita. Malah, keharmonian dan kemesraan masyarakat yang saling membantu dan melengkapi tanpa mengira latar belakang kaum, agama mahupun budaya yang terjalin sejak 61 tahun merdeka, sentiasa wujud dan dapat dilihat dalam kehidupan harian kita hingga sekarang.

TANPA MENGIRA BANGSA

Mungkin ramai antara kita masih ingat kisah seorang lelaki berketurunan Cina yang dikenali sebagai Uncle Kuan atau nama sebenarnya Kuan Chee Heng yang sering membantu sesiapa sahaja yang dalam kesusahan tanpa mengira bangsa.

Keprihatinannya membantu masyarakat seperti menyediakan perkhidmatan van jenazah, menyewakan rumah berhawa dingin pada kadar RM1 semalam dan hanya mengenakan tambang 10 sen menaiki kereta bagi mendapatkan rawatan di hospital kerajaan, menjadi tular bukan sahaja di media sosial bahkan media perdana.

Kisah Uncle Kuan mengingatkan saya kepada jiran berbangsa Cina, Uncle Tan, ketika keluarga saya tinggal di Taman Siakap, Seberang Jaya, Pulau Pinang, kira-kira 30 tahun lalu.

Ketika itu, keluarga saya belum mampu melanggan telefon di rumah, jadi agak sukar mendapat khabar berita daripada sanak saudara di kampung (Kelantan). Lagipun, pada waktu itu boleh dikira dengan jari berapa ramai yang mempunyai kemudahan telefon di rumah.

Memahami keadaan kami, Uncle Tan menawarkan kami menggunakan telefon di rumahnya untuk berhubung dengan keluarga di kampung. Sememangnya, kebaikan dan jasa Uncle Tan dikenang selalu.

SEMANGAT PERPADUAN

Biarpun ada pihak yang mengatakan bahawa semangat perpaduan negara kian rapuh, mungkin itu hanya di mata kasar. Tidak dinafikan ada pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menggembar-gemburkan perkara-perkara negatif bagi mengganggu-gugat keamanan yang dikecapi rakyat negara ini.

Mungkin itu hanya segelintir yang sengaja mahu mengeruhkan keadaan, yang sewajarnya tidak dipedulikan oleh fikiran yang waras. Hakikatnya, setiap manusia mahukan keamanan, kebahagiaan dan keharmonian.

Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye percaya majoriti rakyat masih mempunyai semangat perpaduan yang tinggi dan sanggup membantu antara satu sama lain.

“Pembentukan Malaysia yang bersatu-padu adalah proses berterusan dan apa yang telah dicapai setakat ini mesti dipupuk dan dipertingkatkan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata provokasi sentiasa ada tidak kira sama ada ancaman itu dari pihak dalam atau luar. Namun, sekiranya konsep perpaduan itu sudah disemai sejak kecil dan utuh dalam lubuk hati setiap individu, sebarang provokasi tidak akan berjaya memusnahkannya.

“Kita perlu sentiasa berhati-hati dan menyedari sensitiviti agama dan budaya masing-masing demi keharmonian antara kaum. Perpaduan adalah hadiah yang tidak ternilai kerana ia merupakan kunci kepada keamanan negara dan kesejahteraan rakyat,” tambah beliau.



(Komentar ini adalah pendapat peribadi penulis)

-- BERNAMA












 
 
 

       Berita Utama Terdahulu