malay english mandarin arabic espanol fb tw ig

Malaysia hanya dianggap negara maju jika tolak rasuah - PM Mahathir

Tarikh kemaskini: 07/12/2018
 

PUTRAJAYA, 7 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia dan rakyat Malaysia hanya boleh menganggap diri mereka maju apabila mereka menolak rasuah dan menghentikan amalan itu.

Beliau berkata Malaysia perlu memberi perhatian serius kepada isu rasuah jika mereka mahu berada dalam ranking negara maju dan muncul semula sebagai “Harimau Asia.”

"Kita tidak boleh mencapainya dengan mengambil jalan pintas untuk berjaya,” kata beliau ketika menyampaikan ucaptama pada majlis penyampaian Anugerah Kecemerlangan Antarabangsa Sheikh Tamim Bib Hamad Al-Thani 2018 di sini hari ini.

Turut hadir Emir Qatar Sheikh Tamim Hamad Al-Thani, dan tokoh-tokoh utama anti rasuah global iaitu Peguam Negara Qatar Dr Ali Fattais Al Marri, Pengarah Eksekutif Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) Yury Fedatov dan menteri kabinet Malaysia.

Dr Mahathir berkata Malaysia melakukan apa sahaja yang mampu bukan sahaja untuk melenyapkan apa yang dilabelkan sebagai "kleptokrasi” tetapi juga untuk mengingatkan semua di Malaysia bahawa rasuah bukan sesuatu yang boleh dibenarkan.

"Ia harus dipandang dengan rasa jijik dan benci,” kata beliau sambil menambah hanya dengan mengurangkan amalan rasuah, kerajaan dan negara boleh bergerak ke hadapan.

"Sudah tiba masanya untuk Malaysia berada dalam kelompok negara maju lagi berkebolehan dan biarlah dunia tahu bahawa kita adalah sebuah negara yang kuat menghormati demokrasi dan kedaulatan undang-undang,” kata beliau.

Dr Mahathir menarik perhatian bahawa rakyat Malaysia mesti memastikan bahawa usaha dijalankan untuk meningkatkan tadbir urus dan memperkenalkan inisiatif anti rasuah bertujuan menghentikan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Perdana Menteri menekankan bahawa rasuah adalah satu perkara sangat buruk yang boleh membawa kerosakan yang tidak boleh diperbaiki kepada masyarakat dan negara.

Justeru, bukanlah mereka yang melibatkan diri dalam rasuah yang patut kita sasarkan tetapi sebaliknya kita harus menyanjung mereka yang berusaha untuk memerangi rasuah setiap hari, “ kata beliau.

Dr Mahathir juga menegaskan bahawa Malaysia harus mempertahankan nilai-nilai intigriti dan tadbir urus yang baik di negara ini dan dalam mana-mana organisasi kerana amatlah penting untuk meningkatkan nilai dan standard mereka tanpa mengambil kira warna kulit atau kepercayaan.

Mengenai acara itu, Dr Mahathir berkata ia adalah pengiktirafan penting dari masyarakat antarabangsa mengenai usaha Malaysia dalam memerangi rasuah apabila setiap negara perlu bekerjasama dan belajar dari satu sama lain mengenai isu rasuah dan tadbir urus yang baik.

"Saya berharap acara ini akan memperkasakan anggota sektor awam dan swasta untuk menyedari bahawa hanya integriti dan tadbir urus yang baik yang membolehkan negara berkembang, membangun, makmur dan terus bergerak maju," kata beliau selaras dengan keputusan jawatankuasa untuk memilih Putrajaya bagi acara tahun ini.

Putrajaya ialah bandaraya ketiga menjadi hos acara tersebut selepas Vienna (2016) dan Geneva (2017).

Dr Mahathir juga mengumumkan bahawa Malaysia berikrar untuk menyumbang sebanyak RM500,000 kepada dana International Association of Anti Corruption Authorities (IAACA) sebagai cara untuk menunjukkan sokongan kepada usaha gigih dan komitmen yang ditunjukkan oleh banyak pemimpin Pihak Berkuasa Anti-Rasuah di seluruh dunia .

"Kami berharap inisiatif secara kecilan ini akan menggerakkan usaha untuk IAACA mengumpulkan lebih banyak dana untuk membantu keluarga wira-wira yang gugur," katanya.

Dr Mahathir dan Emir Qatar kemudian menyampaikan empat kategori anugerah kepada calon-calon atas usaha memperjuangkan usaha memerangi rasuah di negara masing-masing.

Anugerah-anugerah tersebut adalah Penyelidikan dan Pendidikan Akademik Anti Rasuah, Kreativiti dan Keterlibatan Belia Anti Rasuah, Inovasi Anti Rasuah dan Pencapaian Sepanjang Hayat/Pencapaian Cemerlang Anti Rasuah.

-- BERNAMA



 
 
 

       Berita Utama Terdahulu