SUKAN

RLIR 2019: Uranus sasar ketiga terbaik kategori 'racing'

10/01/2019 05:31 PM

LANGKAWI, 10 Jan (Bernama) -- Pasukan tempatan ‘Uranus’ menyasarkan untuk berada di kedudukan ketiga terbaik ​​​secara keseluruhan dalam Kategori Racing pada Kejohanan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2019 yang akan berakhir Sabtu ini.

Memasuki hari ketiga pelumbaan hari ini, pasukan perahu layar itu berada di tempat keempat berkongsi 20 mata penalti dengan pasukan terakhir daripada lima pasukan yang bertanding dalam kategori itu.

Diketuai kaptennya Mohd Masyuri Rahmat, Uranus optimis sasaran itu mampu dicapai jika pasukannya mampu mengambil peluang keadaan angin dan laut yang sangat baik di pulau legenda itu.

"Selepas pusingan keenam hari ini, Uranus berjaya naik di kedudukan keempat kerana pada hari pertama dan kedua kejohanan kita berada di tangga tercorot. Mungkin kita dapat mengejar satu lagi pasukan Malaysia 'SCS Janda Baik' yang berada di tempat ketiga dengan 18 mata penalti.

"Selain itu, kita perlu kekalkan momentum bagi baki empat lagi pusingan esok dan Sabtu ini kerana buat masa ini kita turut berkongsi 20 mata penalti dengan sebuah lagi perahu layar Malaysia iaitu 'Zuhal'," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Dalam perlumbaan hari ini, pasukan 'Team Hollywood' dari Australia berada di tempat teratas diikuti oleh 'THA72' (Thailand), 'Uranus' (Malaysia), 'SCS Janda Baik' (Malaysia) dan 'Zuhal' (Malaysia).

Team Hollywood yang diketuai Ray Roberts  juga mendahului kedudukan keseluruhan perlumbaan setakat ini dengan lima mata penalti, diikuti THA72 (10 mata penalti), SCS Janda Baik (18 mata penalti), Uranus (20 mata penalti) dan Zuhal (20 mata penalti).

Sebanyak 35 kapal layar dari Malaysia, Australia, Rusia, Jepun, Thailand, Singapura, Amerika Syarikat dan United Kingdom bersaing dalam RLIR tahun ini, yang bermula dari Selasa lepas hingga Sabtu ini.

Kejohanan kapal layar RLIR 2019 yang dianjurkan Royal Langkawi Yacht Club berlangsung selama lima hari dengan tujuh kategori iaitu Kelas Racing, Kelas IRC 1, Kelas IRC 2, Kelas Sportboat, Kelas Cruising, Kelas Multihull dan Kelas White Sail.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan