Sufficient water supply during drought in Selangor - MB [ 7h ago ]

Manfaat Kuat Kuasa Gaji Minimum RM1,100

Tarikh kemaskini: 11/01/2019
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja (MTUC) Datuk Abdul Halim Mansor . --fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA
Oleh Sakini Mohd Said



KUALA LUMPUR (Bernama) -- Kedatangan 1 Jan 2019 begitu amat bermakna bagi pekerja sektor swasta kolar biru atau gred bawahan kerana ia tarikh penguatkuasaan pelaksanaan gaji minimum RM1,100 sebulan atau RM5.29 sejam.

Ini kerana buat julung kalinya dalam sejarah negara pelaksanaan kadar gaji minimum seragam dikuatkuasakan di seluruh negara yang menjadi kenyataan apabila kerajaan Pakatan Harapan menguasai tampuk pemerintahan.

Berdasarkan Survei Gaji dan Upah yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2017, seramai 7.05 juta orang atau 57.8 peratus daripada keseluruhan 12.21 juta orang penduduk bekerja warganegara adalah pekerja swasta.

Pekerja swasta ini merujuk kepada pekerja yang bekerja sekurang-kurangnya enam jam sehari atau sekurang-kurangnya 20 hari sebulan bagi pekerjaan biasa yang dilakukan secara tetap.

Maklumat yang diperolehi Bernama daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan daripada 7.05 juta pekerja swasta ini, 18.1 peratus atau 1.28 juta orang merupakan penerima gaji dan upah di bawah RM1,100.

Golongan inilah yang dijangka menerima manfaat daripada pelaksanaan gaji minimum ini mulai Januari 2019. Jumlah ini tidak termasuk yang bekerja sendiri, pekerja keluarga tanpa gaji dan majikan.



KURANGKAN BEBANAN

Mengulas penyeragaman gaji minimum ini, pekerja swasta, Mohd Izzat, 25, berkata kenaikan kadar gaji yang diterima sebanyak RM100 itu mungkin dilihat kecil oleh sesetengah pihak, tetapi tidak buat golongan tenaga kerja gred bawahan seperti dirinya.

Masih mempunyai dua beradik yang sedang belajar, anak kedua daripada lima adik beradik yang belum lagi berkahwin ini berkata kenaikan gaji itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan perbelanjaan.

"Mungkin nampak sedikit tetapi kenaikan gaji yang kami terima ini turut dibantu oleh bantuan lain yang diberikan kerajaan untuk kumpulan B40 seperti subsidi elektrik dan juga petrol RON95 sebanyak 40 liter bagi motosikal. Mudah untuk saya yang ulang alik ke tempat kerja guna motosikal.

“Cuma, saya harapkan kerajaan tunaikan janji manifesto mereka mengenai pemberian gaji minimum sebanyak RM1,500 sebulan kerana kos kehidupan kian meningkat,” katanya kepada Bernama.



PELBAGAI FAKTOR

Penyeragaman gaji minimum kepada RM1,500 dalam tempoh lima tahun ini terkandung dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan. Pada mulanya, penetapan gaji minimum menjadi polemik sebaik kerajaan mengumumkan pelarasan gaji minimum seragam di seluruh negara iaitu sebanyak RM1,050 sebulan atau RM5.05 sejam berkuatkuasa 1 Jan 2019.

Jumlah itu dibantah sesetengah pihak kerana didakwa terlalu rendah dan menuntut kerajaan menilai kembali pelaksanaan kenaikan gaji selaras dengan keperluan semasa. Akhirnya, penetapan kadar baharu kenaikan gaji minimum sebanyak RM1,100 diumumkan dan turut berkuatkuasa pada 1 Jan 2019.

Dalam hal ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui kerajaan Pakatan Harapan menghadapi kesukaran menentukan gaji minimum yang tinggi memandangkan sebahagian besar kewangan negara digunakan untuk membayar hutang.

Beliau dipetik sebagai mmaberkata kerajaan pada masa ini tidak mampu untuk meningkatkan jumlah perbelanjaan memandangkan hutang yang ditanggung terlalu besar.

Namun demikian, kerajaan komited terhadap agenda yang dijanjikan dalam manifestonya iaitu menaikkan gaji minimum secara beransur-ansur kepada RM1,500 sebulan dalam tempoh penggal pertama pentadbiran atau lima tahun, kata Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran dalam satu laporan berita.

Katanya, keputusan untuk meningkatkan gaji pada kadar tersebut tidaklah bermakna untuk merendah-rendahkan sumbangan pekerja terutamanya golongan B40.

"Kita bukan naikkan RM1,500 sekali gus. Jika kita lakukan sedemikian akan menyusahkan syarikat swasta kerana pendapatan mereka akan berkurangan sehingga menyebabkan perniagaan tidak boleh beroperasi,” katanya.

Dalam membuat keputusan ini, kerajaan perlu mengambil kira pelbagai faktor seperti menilai kedudukan keseluruhan ekonomi, kewangan negara, kemampuan majikan, kebajikan pekerja supaya peningkatan gaji itu adalah selaras dengan situasi ekonomi semasa negara.

Ini termasuklah mengambil kira pertumbuhan ekonomi negara yang berkembang agak perlahan pada kadar 4.5 peratus pada suku kedua tahun 2018 berbanding 5.4 peratus pada suku pertama. Selain pelaburan langsung asing mencatat aliran masuk bersih lebih rendah pada kadar RM2.8 bilion pada suku kedua tahun 2018 berbanding RM12 bilion pada suku pertama.



LANGKAH WAJAR

Sementara itu, pensyarah ekonomi Universiti Malaya, Prof Dr Fatimah Kari berkata walaupun kenaikan itu dilihat agak rendah terutamanya dari segi kos sara hidup yang tinggi khususnya di bandar namun ia adalah langkah wajar berdasarkan iklim ekonomi sedia ada.

“Pelaksanaan dasar gaji minimum adalah mendokong cita-cita menuju ke arah negara maju dengan menetapkan gaji lantai bagi semua pekerja di Malaysia. Dengan ini juga ia memartabatkan golongan pekerja.

"Saya lebih suka melihat dasar skim gaji ini untuk memastikan keperluan asas seseorang pekerja dipenuhi seperti makanan, tempat tinggal selain perlindungan jangka masa panjang untuk kesejahteraan hari tua mereka dengan meningkatkan caruman KWSP, Perkeso dan kadar bayaran kerja lebih masa,” katanya.

Dalam satu kenyataan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), semua caruman minimum majikan dan pekerja kepada KWSP akan diselaras mengikut Perintah Gaji Minimum (Pindaan) 2018 sebanyak RM1,100 bagi Semenanjung Malaysia serta Sabah, Sarawak dan Labuan, bermula 1 Jan, 2019.

Menerusi langkah itu, caruman minimum sebanyak RM264 dijangka diterima daripada setiap pekerja yang mendapat gaji bulanan, tertakluk kepada khidmat penuh selama sebulan. Caruman minimum yang berbeza bagaimanapun akan membabitkan ahli yang menerima bayaran gaji pada asas mingguan, harian atau jam.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias dipetik berkata sebanyak 1.64 juta atau 23 peratus daripada 7.11 juta ahli aktif KWSP mencarum kurang daripada gaji minimum semasa iaitu sebanyak RM1,000.

“Pelarasan gaji minimum itu sepatutnya dapat membantu ahli KWSP mencapai jumlah simpanan mencukupi bagi tujuan persaraan selain dapat meningkatkan daya tahan kewangan mereka pada masa depan,” katanya.

Statistik KWSP menunjukkan 64 peratus ahlinya yang mencapai usia 54 tahun memiliki simpanan kurang RM50,000 yang tidak setimpal dengan peningkatan kos sara hidup dan hutang isi rumah.



TIDAK ADA GULUNG TIKAR

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja (MTUC) Datuk Abdul Halim Mansor pula berkata pihak Kongres menerima penetapan gaji minimum sebanyak RM1,100 itu berlandaskan janji kerajaan bahawa ia akan meningkat kepada RM1,500 dalam tempoh lima tahun.

“Dalam konteks ini, kita bersetuju dan akan memantau perkara ini kerana kita faham kenaikan mendadak yang terlalu tinggi agak memudaratkan.

“Kenaikan kadar gaji minimum turut akan meningkatkan kadar bayaran kerja lebih masa kepada pekerja dan menyebabkan syarikat lebih suka menggunakan pekerja sedia ada buat kerja lebih masa daripada ambil pekerja baharu.

“Kita tidak nafikan, kenaikan bayaran kerja lebih masa membantu meningkatkan keupayaan daya beli seseorang pekerja. Namun, kita khuatir peningkatan gaji minimum secara mendadak menyebabkan tidak ada pekerja baharu diambil,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai rungutan sesetengah majikan yang mempertikaikan pemberian gaji minimum akan merugikan dan menyebabkan perniagaan gulung tikar, beliau berkata pelaksanaan sebelum ini membuktikan tidak ada satu syarikat pun yang terpaksa tutup operasi disebabkan penetapan gaji berkenaan.

Malah, kajian mendapati ia mempunyai kesan langsung kepada peningkatan produktiviti pekerja kerana mereka rasa dihargai di mana pada jangka masa panjang menyumbang secara positif kepada keuntungan syarikat.

Selain berjaya menarik minat anak tempatan untuk menceburi pekerjaan yang sebelum ini banyak tertumpu pada pekerja asing.

“Kalau kita lihat sejarah 2013 iaitu tahun pertama pelaksanaan gaji minimum di mana kenaikan kadarnya adalah sebanyak 100 peratus, tidak ada satu syarikat pun yang tutup atau gulung tikar disebabkan gaji minimum.

“Majikan kena faham apabila menubuhkan sesebuah syarikat, mereka sebenarnya tidak boleh mengambil untung 100 peratus. Ini bermakna, mereka mempunyai kewajipan untuk pembangunan tenaga kerja dan membangunkan teknologi,” katanya.







RUANGAN SISI

LATAR BELAKANG GAJI MINIMUM UNTUK SEKTOR SWASTA



Pada awal bulan September 2018, kerajaan mengumumkan kadar gaji minimum yang baru iaitu RM1,050 – peningkatan sebanyak RM50 kepada gaji minimum RM1000.

Pengumuman itu mencetuskan pelbagai reaksi memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat dan dianggap tidak realistik.

Majlis Perunding Gaji Negara berpandangan gaji minimum untuk 2019 seharusnya sebanyak RM1,500 dengan mengambil kira kos beban sara hidup di negara ini.

Melalui Bajet 2019, gaji minimum pekerja swasta kemudiannya ditetapkan pada minimum RM1,100. Kadar ini terpakai untuk semua negeri di Malaysia.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng menyatakan kenaikan gaji minimum sebanyak RM1,100 mulai 1 Jan 2019 dibuat selepas menimbang syor-syor yang diberikan Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) hasil kajian semula terhadap Perintah Gaji Minimum 2016.

Sebelum ini, di bawah Perintah Gaji Minimum 2012 yang dilaksanakan pada 1 Jan 2013, gaji minimum ditetapkan sebanyak RM900 sebulan di Semenanjung, manakala RM800 sebulan di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Kadar tersebut disemak semula selaras dengan keperluan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) dan mulai 1 Julai 2016 ia ditetapkan pada RM1,000 sebulan di Semenanjung, manakala RM920 sebulan di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Dengan penetapan gaji minimum sama rata seluruh negara ini, secara tidak langsung dapat merapatkan jurang sosio-ekonomi negeri Sabah, Sarawak dan Labuan dengan negeri-negeri lain di Semenanjung.



Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu