Military personnel mother hopes her son and colleague are safe and sound [ 3h ago ]

Sunshine jangka perolehan berganda dengan pelancaran jualan dalam talian

Tarikh kemaskini: 12/01/2019
GEORGE TOWN, 12 Jan (Bernama) -- Sunshine, rangkaian kedai runcit serbaneka, pasar raya dan pusat beli-belah berpangkalan di Pulau Pinang, menjangka menyaksikan peningkatan pertumbuhan perolehan sebanyak 100 peratus selepas secara rasminya melancarkan jenamanya di platform beli-belah dalam talian Shopee Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Sunshine Wholesale Mart Sdn Bhd Cynthia Hwang berkata Sunshine mampu mendekati 16 juta pengguna dalam talian di Malaysia menerusi Shopee Malaysia untuk merangsang jualan dan pada masa sama memanfaatkan keunikan jualan di platform itu, termasuk Hari Jenama Super Shopee dan program penghantaran percuma.

Beliau berkata jualan rasmi rangkaiannya di Shopee akan bermula dengan 1,500 produk awal terdiri daripada makanan dalam tin dan peket, barangan pengguna organik sehingga barangan perkakasan rumah.

“Perluasan ke platform dalam talian dengan pembukaan jualan rasmi di Shopee akan menyaksikan sumbangan lebih besar kepada pertumbuhan perolehan jenama ini,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran jualan dalam talian Sunshine di Sunshine Square, Bayan Lepas hari ini.

Pelancaran itu termasuk jualan dalam talian label fesyen keluaran Sunshine, a.s.a.p, dikenali ilovaeasap.

Pengurus kategori Shopee Malaysia Tan Ming Kit berkata kerjasama itu selaras dengan visi Shopee untuk mengupaya, memperkasa dan berkembang bersama-sama perbadanan tempatan dan pada masa sama berusaha untuk melakukan perubahan terhadap gaya hidup rakyat Malaysia dalam membeli-belah.

Tan berkata platform e-perdagangan akan terus berusaha mendapatkan kepercayaan peruncit tempatan untuk menjalain kerjasama di masa depan.

“Secara amnya, adalah menjadi sebahagian aspirasi kami untuk memacu pertumbuhan Malaysia dari segi menyediakan lebih banyak pilihan, akses lebih baik dan lebih mudah bagi mendapatkan produk berkualiti dan membolehkan pengguna membeli daripada penjual boleh dipercayai seperti Sunshine Online,” katanya.

Rangkaian Sunshine adalah milik Suiwah Corporation Bhd, syarikat senaraian di Papan Kedua Bursa Malaysia Securities Bhd.

Segmen perniagaan teras Suiwah terdiri daripada rangkaian runcit yang termasuk kedai sebaneka Sunshine Square, Pusat Beli-Belah Sunshine Farlim, Sunshine Lip Sin dan Pusat Beli-Belah Sunshine Bertam di Bayan Baru.

Shopee ialah peneraju platform e-perdagangan di Asia Tenggara dan Taiwan, dan julung kalinya dilancarkan di Singapura pada 2015. Sejak itu ia telah berkembang ke Malaysia, Thailand, Indonesia, Vietnam dan Filipina.

-- BERNAMA




BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu