Program Kesatria Malaysia berhasil bawa 145 acara perniagaan [ 7m ago ]

Perak bina rumah mampu milik serendah RM20,000

Tarikh kemaskini: 04/02/2019
SERI ISKANDAR, 4 Feb (Bernama) – Kerajaan Perak akan menyediakan rumah mampu milik serendah RM20,000 untuk golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) bagi membolehkan golongan tersebut memiliki kediaman sendiri.?

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata menerusi dasar perumahan baharu di Perak yang akan dilaksanakan tidak lama lagi, kerajaan negeri menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) akan membiayai pembinaan rumah mampu milik hasil daripada kos pembangunan yang dikenakan ke atas pemaju perumahan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.?

“Kita benar-benar hendak membantu golongan B40 terutamanya Bumiputera memiliki kediaman sendiri walaupun ia satu keputusan sedikit berani yang dibuat oleh kerajaan negeri.?

“Dasar ini juga perlu dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah pemaju perumahan yang terpaksa menanggung kerugian disebabkan unit perumahan kuota Bumiputera yang tidak terjual di sesebuah projek perumahan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Projek Pembangunan Bersepadu Lestari Iskandar University Square (IUS) @ Seri Iskandar yang dibangunkan Team Keris Berhad di sini hari ini.

Projek yang bermula tahun ini akan membina 595 unit rumah setingkat dan dua tingkat bermula daripada harga RM199,500 di atas tanah seluas 21 hektar.

Terdahulu, Ahmad Faizal dalam ucapan pada majlis itu berkata isu jurang pendapatan yang semakin melebar dalam kalangan masyarakat di bawah kerajaan terdahulu merupakan penyumbang kepada ketidakmampuan rakyat di negeri ini memiliki kediaman sendiri.?

“Kita tidak bercakap mengenai jurang pendapatan di kalangan satu kaum dengan kaum yang lain, tetapi di kalangan Bumiputera sendiri. Jelas sekali, isu berkaitan perumahan mampu milik ini telah menjadi begitu kompleks dan memerlukan langkah pembetulan pelbagai dasar.

“...ia bukan sahaja dalam sektor hartanah, tetapi juga dasar-dasar di luar ruang lingkup sektor hartanah, khususnya usaha ke arah meningkatkan pendapatan kumpulan terbawah B40 dan mengimbangi jurang pendapatan di kalangan majoriti rakyat,” katanya.?

?Ahmad Faizal berkata dalam tempoh tujuh bulan sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pemerintahan, kerajaan negeri telah meluluskan dan mengenal pasti lokasi membina 30,000 rumah kos rendah, rumah mampu milik dan rumah mesra milik.?

“Kita akan terus berusaha untuk mencapai sasaran 50,000 unit. Saya yakin, banyak syarikat-syarikat pemaju juga berkongsi hasrat bagi membantu rakyat kita tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu