Adakan lebih banyak acara untuk tarik pelancong pada hari biasa - Bakhtiar [ 7m ago ]

Terengganu sedia pertingkat kualiti perkhidmatan petugas di kaunter

Tarikh kemaskini: 12/02/2019
KUALA NERUS, 12 Feb (Bernama) -- Kerajaan negeri Terengganu sedia untuk mengubah dan memperbaiki kualiti perkhidmatan petugas kaunter di jabatan serta agensi di bawah seliaannya bagi keselesaan orang ramai lebih dan mengelakkan sebarang pertikaian.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata aduan terbaru yang melibatkan kakitangan kaunter di Yayasan Terengganu hingga tular di laman sosial Facebook, petang semalam perlu membuka mata banyak pihak agar berubah.

"Saya dah dapatkan maklumat daripada Pengarah Yayasan Terengganu mengenai apa yang berlaku dan dimaklumkan mereka telah panggil kakitangan yang terlibat dan berbincang mengenai masalah yang berlaku.

"Bagi pihak kerajaan negeri, saya meminta maaf kepada orang ramai tentang kelemahan dan kekurangan itu. Saya juga sudah maklumkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (Datuk Abd Rahman Yahya) agar penganjuran kursus mengenai tatacara kerja dan layanan kepada orang ramai ini bukan sahaja untuk Yayasan Terengganu, malah untuk semua petugas di barisan hadapan di seluruh negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai aduan seorang wanita yang mendakwa beliau dilayan dengan tidak beradab ketika mahu berurusan di Yayasan Terengganu.

Terdahulu, Ahmad Samsuri hadir menyampaikan Anugerah Sarjana Terengganu bernilai RM430,000 kepada 183 pelajar yang mendapat keputusan cemerlang di peringkat Ijazah Sarjana Muda di sini hari ini.

Pada majlis itu seramai 32 pelajar dalam bidang ikhtisas (profesional) seperti kejuruteraan, perubatan dan perakaunan menerima RM4,000 seorang manakala 151 pelajar dalam bidang bukan ikhtisas pula menerima RM2,000 seorang.

Program Anugerah Sarjana Terengganu dimulakan sejak 1998 dan setakat ini seramai 1,610 pelajar telah menerima anugerah itu melibatkan perbelanjaan sebanyak RM5.8 juta.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu