Kerajaan rangka undang-undang kawal selia ´bike-hailing´ [ 18m ago ]

Pameran 'Raja Kita' oleh Lembaga Muzium N.Sembilan

Tarikh kemaskini: 12/02/2019
Negeri Sembilan
SEREMBAN, 12 Feb (Bernama) -- Pameran 'Raja Kita' anjuran Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) diadakan di Perpustakaan Tun Abdul Razak, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau mulai semalam hingga 25 Feb ini.

Pengarah LMNS Shamsuddin Ahmad berkata pameran sempena Hari Keputeraan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir yang ke-71 itu sebelum ini diadakan di ruang legar Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 4 hingga 10 Feb lepas.

Beliau berkata pameran yang meliputi pelbagai aspek tinggi nilai sejarah dan warisannya itu merupakan satu usaha murni pihak LMNS untuk mengumpul, memulihara dan menyebarkan maklumat kepada masyarakat berkaitan institusi Diraja Negeri Sembilan sejak zaman pemerintahan Raja Melewar dari Pagar Ruyong Sumatera.

“Pameran ini antara lain bertujuan memperkenalkan Tuanku Muhriz kepada masyarakat dan memperkenalkan sistem beraja yang diamalkan di Negeri Sembilan dari zaman Raja Melewar hingga kini, seterusnya memberi kefahaman mengenai salasilah pemerintahan Negeri Sembilan kepada umum.

“Selain itu, ia diadakan untuk memperingati dan menghargai sumbangan serta jasa Tuanku Muhriz dalam membangunkan negeri ini khususnya dan negara amnya,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sementara itu, Shamsuddin berkata Persatuan Pelukis Negeri Sembilan (Pelukis) dengan kerjasama LMNS mengadakan Pameran Lukisan ‘Ekspresi Anak Nogori’ di Dewan Pendeta Za’ba, Teratak Za’ba, Batu Kikir, Jempol sejak 1 Feb lepas hingga 31 Mac ini.

“Sebanyak 50 lukisan hasil karya 30 pelukis dipamerkan. Lukisan tersebut divisualkan dalam berbagai gaya dan penggunaan media...pameran ini dapat mengetengahkan bakat pelukis di negeri ini selain memartabatkan hasil seni kreatif ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu