Bank Dunia kaji cara bekerjasama dengan kerajaan Sabah [ 6m ago ]

Kes pengundi DUN Semenyih saman SPR didengar 19 Feb

Tarikh kemaskini: 12/02/2019
SHAH ALAM, 12 Feb (Bernama) – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 19 Feb ini untuk pendengaran kes saman yang difailkan seorang pengundi berdaftar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menghalang suruhanjaya itu daripada mengendalikan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih.

Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakili plaintif, Puan Sri Sabariah Mohd Shariff berkata kes itu akan didengar di hadapan Hakim S. M. Komathy.

“Kami mengharapkan kes boleh didengar awal sebelum penamaan calon 16 Feb (Sabtu ini) tetapi nampaknya itu saja tarikh terdekat yang boleh diberikan mahkamah.

“Kami telah menyampaikan semua kertas kausa kepada defendan-defendan dalam kes ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Selain SPR, Sabariah, 58, turut menamakan Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun serta Kerajaan Persekutuan sebagai defendan kedua dan ketiga.

Semalam, Mohd Khairul Azam memberitahu pemberita bahawa pihaknya menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan sama ada SPR masih satu entiti yang sah apabila hanya terdapat seorang Pengerusi SPR yang menguruskan hal-hal rasmi suruhanjaya itu selepas timbalan pengerusi SPR dan lima lagi anggotanya telah meletak jawatan berkuat kuasa 1 Jan lalu dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata mengikut Fasal 114 (1) Perlembagaan Persekutuan, SPR mestilah terdiri daripada gabungan seorang pengerusi, seorang timbalan pengerusi dan lima anggota SPR yang kesemuanya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Dalam tuntutan saman itu, plaintif memohon perintah deklarasi bahawa entiti SPR tidak wujud dan tidak sah dan atau tidak berperlembagaan selepas 1 Jan lepas menurut Fasal 114 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Gambar fail

Plaintif juga memohon perintah deklarasi bahawa mesyuarat SPR bertarikh 18 Jan lepas yang dipengerusikan oleh Azhar Azizan seorang diri tanpa keanggotaan timbalan pengerusi dan lima anggota SPR yang lain adalah tidak sah, batal dan melanggar Fasal sama, serta kesemua keputusan yang dibuat dalam mesyuarat itu tidak sah, batal dan tidak boleh dikuatkuasakan oleh Azhar Azizan.

Selain itu, Sabariah memohon injunksi larangan untuk menghalang defendan kedua (Azhar Azizan) daripada bermesyuarat dan atau meneruskan, melaksanakan, menjalankan atau sebarang tindakan atau perbuatan mengendalikan atau menganjurkan dan atau melaksanakan PRK DUN Semenyih sehingga keanggotaan penuh SPR dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Enam bekas anggota SPR itu ialah Tan Sri Othman Mahmood (bekas Timbalan Pengerusi SPR), Datuk Md Yusop Mansor, Datuk Abdul Aziz Khalidin, Datuk Sulaiman Narawi, Datuk K. Bala Singam dan Datuk Leo Chong Cheong.

Lima daripada mereka meletak jawatan pada 18 Okt 2018 manakala seorang lagi pada 27 Nov 2018 dan kesemua peletakan jawatan itu berkuat kuasa pada 1 Jan 2019.

Pada 18 Jan lalu, Azhar Azizan mengumumkan bahawa PRK DUN Semenyih akan diadakan pada 2 Mac ini, hari penamaan calon pada Sabtu ini dan hari mengundi awal pada 26 Feb.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu