Pengambilalihan SESB kepada Sabah dijangka awal tahun depan [ 6m ago ]

Dasar, insentif baharu diperlukan di bawah Majlis Tindakan Ekonomi untuk rangsang pelaburan

Tarikh kemaskini: 12/02/2019
Tan Sri Ramon Navaratnam
KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) – Dasar dan insentif baharu perlu dirangka untuk menggalakkan pelaburan swasta domestik dan asing agar Majlis Tindakan Ekonomi yang baru dibentuk dapat mencapai sasarannya untuk merangsang pertumbuhan mampan.

Pengerusi Pusat Kajian Dasar Awam Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) Tan Sri Ramon Navaratnam berkata sektor swasta perlu diberikan lebih banyak lagi galakan untuk melabur, dengan semakin berkurangnya perlindungan terhadap industri tempatan dan penglibatan kerajaan yang lebih kecil dalam perniagaan.

“Syarikat berkaitan kerajaan, sebagai contoh, perlu kurang memainkan peranan dalam ekonomi. Pelabur asing juga perlu diberi penerangan sepenuhnya dan membenarkan akses yang lebih liberal untuk melabur dalam pasaran kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, katanya, semua pelaburan baharu ini perlu tertakluk kepada dasar dan garis panduan alam sekitar pembangunan lestari yang lebih ketat untuk dapat menarik pelaburan lebih berkualiti yang tidak akan menjejaskan ekonomi dan memerlukan kos yang besar untuk memulihkannya pada masa depan.

Sementara itu, bagi mencapai matlamat pengagihan kekayaan yang saksama, beliau berkata kerajaan boleh meluaskan lagi geran kebajikan dan jaringan keselamatan kepada golongan miskin, menyediakan lebih banyak keperluan asas seperti rumah, kesihatan dan pengangkutan kepada kumpulan ini.

Bagi mencapai objektif meningkatkan kesejahteraan rakyat, Ramon berkata kerajaan perlu mengalihkan penekanannya kepada ekonomi dan keluaran dalam negara kasar dan bergerak ke arah penilaian Indeks Kebahagian untuk mengukur kesejahteraan rakyat.

“Kita perlu tahu apa yang membuatkan rakyat gembira. Sekali lagi susah pastinya, penyediaan lebih banyak keperluan asas mereka, dan usaha padu diperlukan untuk mengurangkan kos hidup. Kemudiannya, kita kembali membasmi rasuah, menambah baik tadbir urus, mengelakkan pembaziran dana awam dan membangunkan gaya hidup lebih sederhana.

“Kecekapan dan budaya meritokrasi dan persaingan perlu lebih digalakkan oleh Majlis Tindakan Ekonomi dalam semua dasar-dasar baharunya,” katanya.

Meskipun rakyat akan berasa gembira dengan penubuhan majlis tersebut, Ramon berkata kerajaan perlu melakukan keazaman politik yang tinggi untuk mengambil tindakan pantas bagi mencapai objektif itu.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu