Boy dies after falling into pool near quarry [ 1h ago ]

Dua warga Vietnam dalang pemalsuan dokumen, seludup PATI Vietnam di Johor, Pahang

Tarikh kemaskini: 12/02/2019
MERSING, 12 Feb (Bernama) -- Dua warganegara Vietnam seorang daripadanya wanita yang merupakan pemastautin negara ini, dipercayai mendalangi sindiket pemalsuan dokumen dan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Vietnam terbesar membabitkan Pahang dan Johor.

Timbalan Pengarah Maritim Negeri Pahang (Operasi) Kapten Maritim V. Pannir Selvan berkata pihaknya telah menahan wanita berusia 30an itu di sebuah rumah di Tanjung Gemuk, Rompin, Pahang pada 3 Feb.

Menurutnya, wanita berkenaan disyaki berperanan sebagai tekong darat dengan menjalankan aktiviti pemalsuan dokumen perjalanan warganegara Vietnam ke negara asal.

"Hasil serbuan itu kami juga menjumpai 36 buah pasport milik warganegara Vietnam, 54 buah buku pelaut Vietnam, kelengkapan pemalsuan cop kelulusan buku pelaut Vietnam dan dokumen-dokumen yang mencurigakan," katanya kepada pemberita di pejabat Zon Maritim Mersing, di sini hari ini.

Bagaimanapun, seorang lelaki warganegara Vietnam yang dikenalpasti sebagai Nguyen Hai Au, 43, dipercayai menghilangkan diri selepas mengetahui penahanan tersebut.

Pada 30 Jan, pihaknya menahan 19 lelaki warganegara Vietnam, berumur antara 19 hingga 50 tahun berserta beberapa beg besar berisi pakaian, makanan dan dokumen-dokumen yang mencurigakan, katanya.

Kesemua mereka ditahan dalam sebuah bot nelayan di 1.8 batu nautika dari Tanjung Kempit, Endau, dekat sini, yang dipercayai cuba menyeludup keluar kesemua mereka.

“Hasil soal siasat mendapati sebilangan PATI tersebut datang dari daerah lain di Johor. Kesemua PATI tersebut telah menjadikan perairan Endau sebagai laluan utama untuk mereka memasuki dan keluar dari negara ini,” kata beliau.

Bagi suspek wanita itu, dia ditahan di bawah Akta Pasport 1966 manakala 19 PATI yang ditahan itu disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007, Akta Imigresen 1959 dan Akta Perikanan 1985.

Beliau seterusnya meminta orang awam yang mempunyai maklumat atau mengenal suspek agar menyalurkan maklumat kepada Zon Maritim Mersing di talian 07- 7982529 (Pusat Operasi) atau tampil sendiri ke pejabat.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu