Lynas refutes Semambu assemblyman's claim on waste storage issue [ 3m ago ]

Muhammad Syahmi yakin Selangor bangkit menentang PKNS FC

Tarikh kemaskini: 12/02/2019
KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) – Pemain pertahanan Selangor, Muhammad Syahmi Safari yakin skuad Gergasi Merah akan bangkit meraih kemenangan sulung berdepan pasukan 'adik', PKNS FC pada aksi ketiga Liga Super di Stadium Shah Alam pada Ahad ini.

Pemain muda berusia 21 tahun itu mengakui keputusan seri 1-1 yang dilakar pada dua aksi terdahulu menentang Felda United dan Petaling Jaya City FC, tidak menjejaskan moral rakan sepasukan yang bersemangat memburu mata penuh di laman sendiri.

"Motivasi pemain berada dalam keadaan terbaik dan kita jadikan keputusan pada dua aksi terdahulu sebagai pengajaran untuk bangkit pada perlawanan selepas ini," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis menandatangani perjanjian di antara Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan peneraju platform e-dagang ASEAN dan Taiwan, Shopee di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Syahmi menjelaskan beliau terpaksa menghormati keputusan pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor yang tidak mahu melepaskan beliau untuk menyertai sesi latihan skuad Bawah 22 (B-22) negara yang bermula Ahad lepas sebagai persediaan menghadapi kejuaraan B-22 konfederasi bola sepak ASEAN di Kemboja yang berlangsung hujung bulan ini.

Beliau yang membantu skuad Harimau Malaya muncul naib juara Piala AFF Suzuki 2018, yakin ketiadaannya tidak akan menjejaskan peluang skuad muda negara melakar keputusan positif pada kejohanan berkenaan yang akan berlangsung dari 17-26 Feb ini di Phnom Penh, Kemboja.

"Insya-Allah dengan barisan pemain yang dipanggil pada kali ini, saya yakin mereka mampu memberi persembahan terbaik kerana kebanyakan daripada mereka merupakan rakan sepasukan saya," jelasnya.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B, akan memulakan kempen berdepan tuan rumah, Kemboja pada 18 Februari, diikuti Indonesia (20 Februari) sebelum menamatkan pusingan awal menentang Myanmar, selang dua hari kemudian.

Dua pasukan terbaik dari kumpulan A dan B, layak ke separuh akhir pada 24 Februari dan aksi final pula dijadual pada 26 Februari ini, dengan kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium Olimpik Kebangsaan Kemboja.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu