104,200 liter diesel seleweng dirampas [ 9m ago ]

Aksi wira Hafizul pastikan kemaraan Perak ke pusingan ketiga ACL

Tarikh kemaskini: 13/02/2019
IPOH, 12 Feb (Bernama) -- Penjaga gawang, Muhammad Hafizul Hakim muncul wira Perak apabila menafikan dua sepakan penalti kelab Hong Kong, Kitchee SC untuk kemenangan 6-5 dalam penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam pusingan kedua kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Perak, di sini, malam ini.

Kemenangan yang dilakar itu melayakkan skuad The Bos Gaurus untuk beraksi di pusingan ketiga kelayakan ACL menentang wakil Korea Selatan, Ulsan Hyundai pada 19 Feb ini di gelanggang lawan.

Beraksi di hadapan lebih 8,000 penyokong, Perak terlebih dahulu menguji gawang gol Kitchee SC pada minit ke-2, apabila rembatan penyerang import, Gilmar Da Silva daripada luar kotak penalti berjaya didakap kemas penjaga gawang, Wang Zhenpeng.

Perak terus menggandakan asakan dan berjaya memperolehi gol pendahuluan pada minit ke-14, melalui pemain tengah dari Brazil, Wander Luiz yang bijak menampan bola ke kanan gawang gol lawan selepas mendapat umpanan daripada Gilmar.

Skuad The Bos Gaurus nyaris menggandakan jaringan pada minit ke-33, namun percubaan daripada dalam kotak penalti oleh pertahanan Perak, Muhammad Rafiuddin Roddin sipi disebelah kiri gawang gol Kitchee SC.

Tersentak dengan serangan bertali arus tuan rumah, Kitchee SC mula mengatur gerak dan pada minit ke-43, mereka hampir menyamakan kedudukan melalui percubaan penyerang import Brazil, Lucas Espindola daripada dalam kotak penalti namun ia berjaya ditepis keluar oleh Muhammad Hafizul.

Bersambung aksi babak kedua, Kitchee SC terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain pada minit ke-49, apabila pemain pertahanan, Matthew Smith diperintahkan keluar padang oleh pengadil dari Syria, Hanna Hattab kerana didakwa menampan bola menggunakan tangan dihadapan gawang golnya.

Kelebihan itu gagal digunakan sebaiknya oleh skuad The Bos Gaurus apabila Kitchee SC berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-86 hasil jaringan pemain pertahanannya, Li Ngan Hoi sekaligus mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Masa tambahan 30 minit diberikan bagaimanapun gagal menyaksikan jaringan terhasil apabila kedua-dua pasukan dilihat mempamerkan corak permainan berhati-hati sebelum perlawanan diheret ke penentuan penalti.

-- BERNAMA







BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu