'Acar temu' Mek Yah laris kerana khasiatnya [ 1h ago ]

Bomba Pahang guna dron pantau kebakaran hutan

Tarikh kemaskini: 20/02/2019
KUANTAN, 20 Feb (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang akan menggunakan dron bagi membantu operasi memadam kebakaran hutan yang berisiko berlaku pada musim panas.

Pengarahnya Nor Hisham Mohammad berkata penggunaan dron itu akan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan, Jabatan Perancang Bandar dan Desa dan Jabatan Saliran dan Pengairan negeri, sebagai mana diputuskan pada mesyuarat bagi menghadapi musim kemarau, baru-baru ini.

"Kami bersetuju bahawa penggunaan dron adalah yang terbaik dalam operasi memadam kebakaran hutan simpan kerana dapat memberi penglihatan dari udara bagi membantu bomba merangka strategi," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Nor Hisham berkata setakat ini, tiada peningkatan kes kebakaran hutan atau belukar dalam tempoh kebelakangan ini walaupun pihaknya telah menerima beberapa laporan berhubung kejadian itu akibat cuaca panas sejak tiga minggu lepas.

Berdasarkan pengalaman lalu, antara kawasan yang diberi tumpuan adalah belukar sekitar Nenasi di Pekan yang menghala ke arah Kuantan dan hutan simpan di Bebar, juga di daerah Pekan, katanya.

"Kesiapsiagaan kita untuk menghadapi musim kemarau juga ditahap terbaik dengan pemeriksaan jentera dilakukan setiap hari. Malah kesiapsiagaan kita adalah antara yang paling tinggi," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Pahang Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak pula berkata setakat ini, pihaknya masih belum menerima aduan daripada petani berhubung masalah terhadap tanaman dan ternakan yang disebabkan cuaca panas.

Pengarah Perikanan negeri Azahari Othman pula berkata jabatannya bersedia melaksanakan bantuan mengikut prosedur operasi standard (SOP) kepada nelayan darat, khususnya pengusaha ikan sangkar jika berlaku masalah disebabkan cuaca panas.

"Kita juga memantau perkembangan dan setakat ini, memang ada beberapa kawasan yang airnya surut, namun keadaan masih terkawal kerana hujan yang berselang beberapa hari selepas cuaca panas.

Pengusaha ikan sangkar juga dinasihatkan untuk peka dengan ramalan cuaca supaya dapat membuat perkiraan yang lebih baik untuk menjual ikan bagi mengelakkan rugi terlalu banyak," katanya.

Azahari menambah pengusaha ikan sangkar yang berhadapan masalah diminta untuk segera membuat aduan kepada jabatan supaya tindakan sewajarnya dapat dilaksanakan.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu