Lelaki ditembak ada rekod jenayah berkaitan dadah, samun [ 3m ago ]

Maduro, Palang Merah capai kata sepakat isu penghantaran bantuan kemanusiaan ke Venezuela

Tarikh kemaskini: 11/04/2019
CARACAS, 11 April (Bernama) -- Presiden Venezuela Nicolas Maduro pada Rabu malam berkata beliau telah mencapai kata sepakat dengan Persatuan Palang Merah Antarabangsa (ICRC) mengenai penghantaran bekalan bantuan kemanusiaan dalam kerangka menghormati kedaulatan negaranya.

Maduro berkata beliau telah mengadakan pertemuan dengan Peter Maurer, presiden ICRC dan Sophie Orr, pengarah serantau ICRC bagi Amerika pada Selasa malam di Istana Presiden Miraflores di Caracas.

"Kami telah mencapai kata sepakat untuk bekerjasama dengan badan-badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membawa segala bentuk bantuan ke Venezuela, semua bantuan dari segi kemanusiaan yang boleh dibawa, yang menhormati kedaulatan negara kami," kata Maduro.

Di NEW YORK, Penolong Setiausaha Agung PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan Mark Lowcock pada Rabu meminta lebih banyak bantuan kewangan untuk menyokong peluasan program kemanusiaan di Venezuela.

"Sumber yang ada sekarang amat sederhana bagi menampung keperluan yang kita nampak. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada negara anggota yang telah menyumbang kepada penyaluran bantuan kemanusiaan di Venezuela... Sokongan berterusan anda adalah kritikal. Bagaimanapun, kami perlukan lebih banyak lagi," kata Lowcock kepada Majlis Keselamatan.

Beliau turut meminta diwujudkan satu persekitaran bagi membolehkan operasi penghantaran bantuan kemanusiaan itu dilaksanakan, termasuk akses berterusan dan tetap kepada mereka yang memerlukan.

Lowcock memuji kerajaan Venezuela kerana mengambil langkah untuk memudahkan kemasukan petugas tambahan PBB ke negara itu dan meluaskan program kemanusiaan. Bagaimanapun, pada masa yang sama, beliau berkata beberapa langkah tambahan perlu dilakukan.

"Kami memerlukan lebih banyak organisasi kemanusiaan dengan kapasiti bagi memenuhi keperluan mendesak untuk mewujudkan kehadiran dan bantuan dengan operasi di negara ini. Kami juga memerlukan lebih banyak data dan maklumat bagi memastikan pemahaman kami adalah selari dengan situasi," katanya.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu