Boy dies after falling into pool near quarry [ 6h ago ]

Presiden Turki gesa langkah perdamaian, keamanan di Sudan

Tarikh kemaskini: 12/04/2019
ANKARA, 12 April (Bernama) --Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan pada Khamis menggesa agar perdamaian nasional dilaksanakan di Sudan dan proses peralihan diuruskan secara aman, lapor agensi berita China Xinhua.

"Saya berharap Sudan dapat melalui proses semasa perdamaian nasional dan keamanan, dan saya percaya negara itu perlu berusaha ke arah proses demokratik yang normal," kata Erdogan dalam sidang akhbar bersama Presiden Burkina Faso Roch Marc Christian Kabore di Ankara.

Beliau menegaskan bahawa Turki menyokong kesinambungan hubungan "yang mendalam" dengan Sudan.

Menteri Luar Turki dalam satu kenyataan pada Khamis menyebut bahawa negara itu berharap proses peralihan di Sudan akan dijalankan secara aman.

Turki akan terus berdiri bersama-sama rakyat Sudan bagi memastikan kestabilan, kebajikan dan keselamatan negara itu, menurut kementerian berkenaan.

Terdahulu, Menteri Pertahanan Sudan Awad Mohamed Ahmed Ibn Auf mengumumkan bahawa Presiden Omar al-Bashir telah disingkirkan daripada kuasa dan ditahan susulan tunjuk perasaan besar-besaran selama berbulan-bulan di ibu kota Khartoum.

Tentera Sudan telah mengenakan perintah berkurung selama sebulan selain mengisytiharkan perintah darurat selama tiga bulan.

Sebuah majlis tentera akan dibentuk untuk mentadbir negara semasa tempoh peralihan selama dua tahun.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu