Firdaus a good student, says teacher of bus-SUV crash victim [ 8m ago ]

Ecuador batal status kewarganegaraan Assange

Tarikh kemaskini: 12/04/2019
QUITO, 12 April (Bernama) -- Ecuador pada Khamis mengumumkan bahawa ia telah membatalkan status kewarganegaraan yang diberikan kepada pengasas WikiLeaks, Julian Assange, pada Disember 2017 atas alasan terdapat "penyelewengan" dalam proses naturalisasi, lapor agensi berita China Xinhua.

"Terdapat penyelewengan yang tidak terkira banyaknya dalam konsesi kewarganegaraan itu," kata Menteri Hal Ehwal Luar Jose Valencia.

"Atas alasan itu, kementerian memutuskan untuk membatalkannya secara formal," kata Valencia.

Assange telah ditahan pada Khamis oleh polis Britain di London selepas Presiden Ecuador Lenin Moreno melucutkan suaka politik yang diberikan kepadanya di bawah kerajaan sebelumnya pada 2012.

Assange, yang ketika itu diburu pihak berkuasa Sweden atas dakwaan salah laku seksual, mendakwa beliau sedang dianiaya secara politik kerana peranannya dalam mendedahkan jenayah perang Amerika Syarikat (AS).

Kementerian Ecuador berkata ia membatalkan status suaka Assange selepas mendapat "jaminan" dari Britain bahawa aktivis itu tidak berdepan risiko yang membahayakan nyawanya.

Jabatan Kehakiman AS pada Khamis berkata ia telah memohon untuk mengektradisi Assange agar beliau boleh berdepan pertuduhan jenayah melakukan konspirasi untuk menggodam sebuah komputer yang mengandungi maklumat sulit kerajaan AS.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu