Pentagon akan bentang pelan penghantaran askar ke Timur Tengah kepada Rumah Putih [ 2m ago ]

Enam maut dalam operasi ketenteraan anti-pemisah di wilayah bergolak Cameroon

Tarikh kemaskini: 15/04/2019
YAOUNDE, 15 April (Bernama) -- Sekurang-kurangnya enam maut manakala beberapa lagi cedera pada awal Ahad dalam satu operasi ketenteraan anti-pemisah di Ekona, sebuah lokaliti di Barat Daya, satu daripada dua wilayah bergolak yang penduduknya bertutur dalam bahasa Inggeris, lapor agensi berita China Xinhua memetik sumber tempatan.

Pihak tentera telah menjejaki pejuang pemisah di kawasan belukar dan menemui mereka.

Kebanyakan yang dibunuh didakwa sering melakukan keganasan terhadap penduduk, kata sumber tentera yang tidak ingin dikenali kepada Xinhua.

Bagaimanapun, terdapat laporan berbeza berkaitan pihak yang melakukan keganasan itu. Penduduk tempatan mendakwa mereka telah ditembak oleh tentera kerajaan.

"Terdapat enam orang termasuk dua kanak-kanak yang merupakan anggota sebuah keluarga. Mereka menyembunyikan diri daripada pihak tentera dalam belukar ketika ditembak mati. Mayat mereka masih bergelimpangan di kawasan belukar itu," kata seorang penduduk tempatan yang tidak ingin identitinya didedahkan kepada Xinhua.

Sejak November 2017, tentera kerajaan telah bertempur dengan pejuang pemisah bersenjata yang ingin memisahkan dua wilayah di bahagian Barat Laut dan Barat Daya dari Cameroon dan menubuhkan sebuah negara baharu dikenali sebagai "Ambazonia".

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu