Warga emas ditahan seludup rokok di Johor [ 4m ago ]

Venezuela selar "kesan jenayah" akibat sekatan AS

Tarikh kemaskini: 15/04/2019
CARACAS, 15 April (Bernama) -- Kerajaan Venezuela pada Ahad mengutuk sekatan Amerika Syarikat (AS) yang menyasarkan syarikat minyak negara itu, PDVSA, susulan "kesan jenayah" terhadap rakyat Venezuela, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan kerajaan.

Sekatan itu menghalang akses kepada hasil minyak negara tersebut dan keupayaannya membiayai program sosial dan kesihatan utama.

Menurut kenyataan itu, sekatan tersebut "menghalang pelaksanaan program bantuan kemanusiaan terutamanya bagi kes kesihatan yang rumit," seperti kanser, Parkinson, epilepsi serta pemindahan hati dan tulang sum-sum.

Kesemua "jenis sekatan, yang dipromosi penggiat politik Venezuela dan ditentukan kerajaan AS, merupakan satu pencabulan secara terang-terangan terhadap hak asasi manusia pesakit yang terjejas," menurut kerajaan.

Sekatan itu juga "adalah bertentangan sepenuhnya" dengan rasa bimbang Washington terhadap kebajikan rakyat Venezuela dan desakannya untuk menghantar bantuan kemanusiaan, menurut kenyataan tersebut.

Ketika ini, sejumlah 25 pesakit berada di Itali menunggu pemindahan tulang sum-sum, namun kerajaan tidak dapat mengakses dana bagi membayar kos prosedur itu sekali gus menjadikan mereka berdepan "risiko serius."

Washington, yang menyokong pembangkang sayap kanan Venezuela dan kempennya untuk menyingkirkan Presiden Nicolas Maduro serta Parti Sosialis yang memerintah, meningkatkan sekatan ekonomi dan kewangan terhadap Venezuela serta syarikat minyak milik negara itu sejak awal tahun ini.

AS pada Jumaat telah mengenakan sekatan tambahan ke atas dua syarikat dan 24 kapal yang dikaitkan dengan PDVSA.

Terdahulu, ia turut mengumumkan sekatan ke atas 34 kapal pengangkut PDVSA dan syarikat pengangkutan.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu