Kossan tingkatkan sarung tangan tahunan sebanyak 32 bilion keping [ 1m ago ]

Mahkamah arah SPR India putuskan perlu atau tidak hentikan tayangan biografi PM Modi

Tarikh kemaskini: 15/04/2019
Narendra Modi (Foto: Vijay Verma/PTI/dpa)
NEW DELHI, 15 April (Bernama) -- Mahkamah Agung India pada Isnin mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negara itu meneliti mengenai filem biografi Perdana Menteri Narendra Modi dan memutuskan sama ada tayangannya perlu dihentikan atau sebaliknya, lapor agensi berita Xinhua.

Tarikh akhir bagi panel membuat keputusan mengenai perkara itu ialah pada 22 April.

Minggu lepas, SPR India menghentikan tayangannya sepanjang tempoh pilihan raya umum, menyebabkan pengeluar filem terbabit membawa perkara itu ke Mahkamah Agung.

SPR India dalam kenyataannya berkata, larangan tayangan filem itu bertujuan untuk tidak menganggu proses pilihan raya, yang dilihat boleh memberi kelebihan kepada individu atau sesebuah parti itu.

"Mana-mana poster atau bahan publisiti sama ada menggambarkan calon secara langsung atau sebaliknya tidak boleh dipamerkan di media elektronik dan di kawasan yang termaktub di bawah Kod Tata Kelakuan," jelas kenyataan itu.

Peringkat pertama pilihan raya India bermula minggu lepas dan terdapat enam lagi peringkat yang akan berlangsung sehingga 20 Mei.

Pengiraan undi dijadual pada 23 Mei.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu