Perubahan dalam Kementerian Pendidikan hanya khabar angin [ 11m ago ]

Kastam China catat rekod rampasan terbesar gading gajah

Tarikh kemaskini: 15/04/2019
BEIJING, 15 April (Bernama) -- Kastam China merampas 7.48 tan gading gajah dalam operasi pada 30 Mac lalu, lapor agensi berita Xinhua, memetik kenyataan Pentadbiran Am Kastam (GAC) pada Isnin.

Ia adalah rampasan terbesar dilakukan pihak kastam sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kata GAC.

Setakat tahun ini, kastam China berjaya mematahkan 182 kes membabitkan penyelupan 8.48 tan gading gajah dan produk yang diperbuat daripadanya serta 500.5 tan spesis terancam lain selain menahan 171 suspek.

Sementara itu, polis mempergiatkan usaha untuk membendung jenayah penyeludupan gading dan spesis terancam.

Lebih 200 barangan diperbuat daripada gading telah diseludup dan lebih 830 kilogram spesis terancam lain dirampas di kawasan sempadan sejak 2018, kata Kementerian Keselamatan Awam.

Polis juga giat memburu individu yang terbabit dalam jenayah penyeludupan. Setakat tahun ini, dua individu terlibat dalam kes penyeludupan gading berprofil tinggi.

Dalam tempoh tiga tahun lalu, polis membantu kastam menahan 18 orang pelarian yang disyaki menyeludup gading gajah dan spesis terancam lain, kata kementerian itu.

Bermula 1 Januari 2018, China menguatkuasakan larangan ke atas perdagangan gading untuk tujuan komersil sebagai sebahagian daripada komitmen melindungi haiwan liar.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu