Boy dies after falling into pool near quarry [ 6h ago ]

Penduduk Yaman perlukan lebih banyak bantuan antarabangsa - PBB

Tarikh kemaskini: 16/04/2019
NEW YORK, 16 April (Bernama) -- Situasi kemanusiaan di Yaman amat buruk dan penduduknya bakal berdepan pengakhiran yang menakutkan tanpa lebih banyak bantuan antarabangsa, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Hal Ehwal Kemanusiaan dan Penyelaras Bantuan Kecemasan Mark Lowcock pada Isnin.

Lowcock berkata demikian ketika memberi taklimat kepada Majlis Keselamatan berkaitan situasi kemanusiaan di Yaman menerusi pautan video dari London, sambil memetik rayuan Utusan Khas PBB ke Yaman Martin Griffiths agar masyarakat antarabangsa segera bertindak untuk menyelamatkan nyawa penduduk negara itu.

Lowcock mengulangi gesaannya sebelum ini agar diadakan gencatan senjata di seluruh negara itu sambil menambah bahawa "semua pihak yang memiliki senjata dan bom perlu menghentikan keganasan. Kami sekali lagi mengingatkan pihak terbabit bahawa undang-undang kemanusiaan antarabangsa mengikat mereka di semua lokasi pada setiap masa."

Bagaimanapun "peluru bukanlah satu-satunya risiko terhadap nyawa dan tubuh badan," beliau memberi amaran dan berkata pada tahun ini, sejumlah 200,000 kes disyaki taun yang boleh membawa maut telah dilaporkan hampir tiga kali ganda berbanding tempoh sama bagi tahun lepas.

"Kita melihat akibat kemusnahan sistem kesihatan di tempat lain juga. Lebih 3,300 kes difteria telah dilaporkan sejak 2018 - penularan pertama di Yaman sejak 1982. Awal tahun ini, kes campak baharu melonjak hampir dua kali ganda berbanding jumlah yang dilaporkan pada masa yang sama bagi 2018."

Akses kepada golongan terdedah kekal menjadi halangan utama, katanya sambil menjelaskan bahawa bijirin yang mampu memberi makan sejumlah 3.7 juta penduduk Yaman yang kebuluran masih berada di gudang makanan Red Sea Mills di Hudaidah susulan konflik yang berterusan.

Beliau berkata wang sudah kehabisan dalam usaha menyelamatkan nyawa kerana hanya US$267 juta diterima setakat ini berbanding sejumlah US$2.6 bilion yang dijanjikan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia, katanya "mengunjurkan bahawa 60 peratus pusat rawatan diarea boleh ditutup pada minggu-minggu akan datang, dan perkhidmatan di fasiliti penjagaan sekunder mungkin terjejas."

"Kami tetap menyedari bahawa keamanan mampan adalah remedi paling berkesan bagi krisis kemanusiaan di Yaman. Tanpa keamanan, kita akan terus merawat gejala-gejala krisis ini daripada menangani puncanya," rumus Lowcock.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu