Boy dies after falling into pool near quarry [ 6h ago ]

Moon ikrar cari kebenaran di sebalik tragedi feri Sewol karam

Tarikh kemaskini: 16/04/2019
SEOUL, 16 April (Bernama) -- Presiden Moon Jae-in pada Selasa berikrar pentadbirannya akan terus berusaha mencari kebenaran di sebalik tragedi feri karam pada 2014, lapor agensi berita Yonhap.

Sempena ulang tahun kelima memperingati tragedi menyayat hati itu yang menyaksikan 304 nyawa terkorban, Moon berkata pihaknya akan memastikan individu bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

"Saya sentiasa ingat (kemalangan) itu," tulisnya dalam akaun Facebook miliknya.

Beliau juga bertekad untuk memastikan kejadian sama tidak berulang.

"Pihak kerajaan akan mewujudkan sebuah taman peringatan, dinamakan "4.16 Life and Security Park", ujarnya.

Feri Sewol itu karam di pantai barat daya perairan Korea Selatan pada 16 April 2014 ketika dalam perjalanan menuju ke Pulau Jeju, kebanyakan mangsa terdiri pelajar sekolah.

Siasatan mendapati terdapat bukti kecuaian oleh Pengawal Pantai dan kapten serta anak kapal.

Ketika itu Korea Selatan di bawah pentadbiran Park Geun-hye yang mencetuskan kemarahan awam kerana kegagalan kerja menyelamat oleh kerajaan yang turut menyaksikan kepada penyingkiran beliau.

Park kini berdepan tuduhan terbabit skandal rasuah.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu