Gamelord crowns eight winners with prizes worth RM10,000 [ 1m ago ]

PRU India: Fasa kedua pengundian saksikan 845 calon bertanding di Tamil Nadu

Tarikh kemaskini: 17/04/2019
Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 17 April (Bernama) -- Lebih 157 juta penduduk, termasuk 59 juta orang di selatan negeri Tamil Nadu, layak mengundi dalam fasa kedua pilihan raya kebangsaan India pada Khamis (18 April).

Suruhanjaya Pilihan Raya berkata sejumlah 1,629 calon bertanding bagi merebut 97 kerusi Lok Sabha (dewan rakyat) di 12 negeri dan satu wilayah persekutuan.

Sejumlah 845 calon telah mengemukakan pencalonan untuk bertanding di Tamil Nadu, di mana 39 kerusi parlimen dipertandingkan.

Pengundian pilihan raya India yang diadakan dalam tujuh fasa bermula pada 11 April dan akan berlanjutan sehingga 19 Mei.

Negeri paling ramai penduduk, Uttar Pradesh, mempunyai perwakilan terbesar di Lok Sabha yang mempunyai 545 anggota dengan 80 kawasan.

Pengundian bagi lapan kerusi Uttar Pradesh telah berlangsung pada 11 April dan lapan lagi akan diliputi dalam fasa kedua.

Penganalisis percaya sesiapa yang memenangi kerusi di Tamil Nadu dan negeri di bahagian selatan Indian lain akan memainkan peranan penting dalam pembentukan kerajaan di New Delhi bulan depan jika Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi yang memerintah mahupun Kongres Kebangsaan India gagal menyapu bersih pemilihan.

"Negeri-negeri di bahagian selatan mempunyai peranan lebih besar dalam pilihan raya ini. BJP mempunyai kehadiran yang amat sedikit di wilayah selatan, jadi objektif utamanya ialah untuk meraih kemenangan besar di Uttar Pradesh," kata Mujibur Rehman, penulis buku "Rise of Saffron Power: Reflections on Indian Politics".

"Uttar Pradesh sentiasa memainkan peranan penting dalam sebarang perbincangan berkaitan pilihan raya. Kes negeri itu agak pelik kerana ia boleh menentukan parti mana yang akan memerintah India," katanya kepada Bernama.

Pada pilihan raya umum 2014, kemenangan besar yang diraih BJP dimungkinkan oleh kejayaan parti itu memenangi 71 kerusi di Uttar Pradesh.

Negeri di bahagian utara India itu, yang memiliki lebih 200 juta penduduk mempunyai kehebatan dalam melahirkan jumlah perdana menteri paling ramai di India.

-- BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu