Boy dies after falling into pool near quarry [ 8h ago ]

Trump guna kuasa veto tamatkan sokongan AS di Yaman

Tarikh kemaskini: 17/04/2019
WASHINGTON, 17 April (Bernama) -- Presiden Donald Trump menggunakan kuasa veto berhubung satu resolusi pada Selasa yang menggesa Amerika Syarikat (AS) menghentikan sokongan terhadap peperangan di Yaman yang dipimpin oleh Arab Saudi, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik satu kenyataan.

"Resolusi ini adalah sesuatu yang tidak perlu dan merupakan percubaan berbahaya untuk melemahkan kuasa perlembagaan saya, membahayakan nyawa rakyat Amerika serta anggota perkhidmatan yang berani, hari ini mahupun pada masa depan," menurut Trump dalam satu kenyataan.

Ini merupakan kali kedua Trump menggunakan kuasa veto selepas beliau menjadi presiden AS.

Perundangan itu pada asalnya diperkenal di Senat dan ditaja bersama oleh calon presiden Senator Bernie Sanders, dengan mengguna pakai resolusi Kuasa-Kuasa Perang, satu undang-undang persekutuan yang memberikan Kongres kuasa untuk menyiasat presiden apabila menjerumuskan AS ke dalam konflik bersenjata.

Dewan itu telah meluluskan satu resolusi yang sama berhubung Yaman pada Februari, tetapi ia tidak sampai kepada Senat kerana isu prosedur.

Arab Saudi telah mengetuai gabungan bagi menentang pemberontak Houthi di Yaman sejak 2015, apabila Riyadh dan sekutu Sunni-Arabnya melancarkan satu kempen serangan udara besar-besaran bagi mengusir pemberontak Houthi dari kawasan yang dikuasainya yang bermula pada 2014.

Kempen itu telah memusnahkan infrastruktur Yaman, termasuk sistem kesihatan dan sanitasinya, menyebabkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyifatkannya sebagai antara bencana kemanusiaan paling teruk pada zaman moden.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu