Boy dies after falling into pool near quarry [ 5h ago ]

Serangan roket di Tripoli ragut enam nyawa

Tarikh kemaskini: 17/04/2019
TRIPOLI, 17 April (Bernama) -- Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dalam serangan roket di ibu kota Libya, Tripoli, lapor agensi berita Anadolu memetik pihak berkuasa tempatan pada Rabu.

Serangan menyasarkan kawasan kejiranan di Abu Salim serta daerah Algrarat dan Salahuddin di ibu negara lewat Selasa.

Maklumat awal oleh anggota perubatan mengatakan dua orang terbunuh dalam serangan itu, namun menurut pihak berkuasa majlis tempatan Abu Salim berkata enam maut dan 35 yang lain cedera.

Kerajaan Perpaduan Kebangsaan Negara (GNA) yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuduh pasukan yang berpusat di Libya timur diketuai oleh komander Khalifa Haftar melancarkan serangan.

Serangan tercetus sejak tentera yang setia dengan Haftar melancarkan kempen ketenteraan awal bulan ini untuk menguasai Tripoli, yang menempatkan GNA.

Pada Isnin, GNA berkata sekurang-kurangnya 76 orang termasuk 24 orang awam terbunuh sejak pertempuran meletus di Tripoli.

Sejak berakhirnya era pentadbiran Presiden Muammar Gaddafi pada 2011, Libya terbahagi kepada dua iaitu kerajaan Libya timur dan kerajaan Tripoli, yang diiktiraf PBB.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu