Military personnel mother hopes her son and colleague are safe and sound [ 3h ago ]

5G beri impak kepada setiap industri - Tun Mahathir

Tarikh kemaskini: 18/04/2019
PUTRAJAYA, 18 April (Bernama) -- 5G akan memberi impak kepada setiap industri yang penting untuk pertumbuhan ekonomi negara, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Berucap pada majlis pelancaran Pameran 5G di sini hari ini, Dr Mahathir berkata industri seperti pembuatan, yang menyumbang 22 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi tempoh lima tahun lepas, kekal penting kepada ekonomi negara, dan kira-kira 98.5 peratus daripada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia adalah dalam dalam sektor pembuatan.

"Menerusi perkilangan pintar atau ‘massive machine-type communications’, kerajaan berharap ia dapat menarik pelaburan dengan nilai tambah yang tinggi, berteknologi tinggi dan berintensif pengetahuan seperti dalam bidang aeroangkasa, kimia dan produk kimia, peralatan jentera, peralatan perubatan dan elektrik serta elektronik,” katanya.

Bagaimanapun, kata Dr Mahathir, perubahan dari 4G kepada 5G tidak berlaku dalam sehari kerana ia memerlukan usaha yang bersungguh-sunguh dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, kolaborasi sesama industri, dan sumber-sumber yang diperlukan bagi menyokong usaha-usaha tersebut.

Justeru, katanya, kerajaan akan memulakan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) untuk memastikan kesediaan dan tepat pada masanya untuk menggunakan teknologi 5G.

Dr Mahathir berkata kerajaan juga akan memperkenalkan ‘Industry 4Ward’ (industry forward) bagi sektor pembuatan yang bukan sahaja akan menyentuh mengenai pembiayaan, infrastruktur, peraturan-peraturan, bakat dan akses kepada teknologi bagi membolehkan para pengeluar untuk mengintegrasikan teknologi-teknologi Industri 4.0 seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan data raya dalam operasi mereka.

"Matlamatnya ialah agar negara berada pada kedudukan 30 teratas dalam Indeks Inovasi Dunia menjelang tahun 2025," kata beliau.

Dr Mahathir berkata beliau percaya bahawa teknologi dapat memastikan perniagaan akan menjadi lebih efektit, yang sebaliknya akan menambah produktiviti dan pengeluaran selain gaji para pekerja.

Ini akan dapat menangani jurang pendapatan di Malaysia, yang telah meningkat dua kali ganda dalam tempoh dua dekad, menurut kajian Institut Penyelidikan Khazanah, kata beliau.

Dr Mahathir berkata 5G juga akan menjamin bahawa kualiti pendidikan akan dapat disebar luas ke seluruh negara, menghubung dan menyatu (connecting the unconnected) di kawasan luar bandar.

"Pengajaran boleh melangkaui bilik darjah manakala para pelajar boleh berinteraksi dalam pelbagai cara yang berbeza daripada apa yang kita lakukan hari ini.

"Dengan Revolusi Industri telah menjengah kita, telah menjadi lebih penting berbanding masa-masa lepas untuk membangunkan kemahiran yang perlu dalam kalangan orang muda Malaysia yang memerlukan bukan sahaja kemahiran yang dipacu data, tetapi juga ketangkasan minda, terutama apabila gangguan menjadi perkara biasa dalam kehidupan seharian kita,” kata beliau.

Dr Mahathir berkata perniagaan pula perlu melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan baharu dan mengambil risiko menggunakan terknologi berkenaan bukan sahaja untuk meningkatkan pengeluaran dan produtiviti tetapi juga untuk mencipta produk dan perkhidmatan baharu, kaedah-kaedah dan proses baharu.

"Zaman kini memerlukan tahap pemikiran baharu, dan dalam banyak kes, pendekatan dalam perniagaan yang berbeza dan inovatif,” kata beliau.

Justeru, beliau menggesa para pemimpin perniagaan supaya segera melaksanakan Industri 4.0 dan menambah perancangan mereka dengan strategi yang komprehensif untuk membesarkan perniagaan dan untuk kekal dinamik dan berdaya saing, dalam zaman yang banyak menggunakan mesin ini mereka juga perlu melabur dalam modal insan.

"Adalah amat mustahak untuk melakukannya dari kedua-dua segi moral dan ekonomi. Tanpa pendekatan-pendekatan proaktif, perniagaan dan pekerja akan kerugian dari segi potensi ekonomi zaman digital ini.”

Bertemakan "Memajukan Program Kemanusiaan” Pameran 5G Malaysia diadakan di Kompleks Perbadanan Putrajaya dan dibuka kepada orang ramai sehingga 21 April (Ahad).

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo dan timbalannya Eddin Syazlee Shith, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A. Xavier Jayakumar, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad dan Anggota Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar.

-- BERNAMA




BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu