Lelaki cedera parah tangan kiri terkena letupan mercun bola [ 11m ago ]

Air dari LRA Ayer Ganda boleh diguna untuk mencuci, mandi

Tarikh kemaskini: 18/04/2019
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye
KAMPAR, 18 April (Bernama) -- Air dari Loji Rawatan Air (LRA) Ayer Ganda di Gerik boleh digunakan untuk tujuan mencuci pakaian dan mandi, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau bagaimanapun berkata air dari loji tersebut masih belum dapat diminum susulan penemuan arsenik, sejenis logam berat.

"Saya difahamkan Lembaga Air Perak (LAP) telah bekalkan air untuk diminum penduduk dan projek paip baharu untuk alirkan sumber air mentah yang tidak tercemar sedang berjalan yang dijangka siap dalam masa enam bulan," katanya.

Dr Lee yang juga Anggota Parlimen Gopeng bercakap kepada pemberita selepas melawat tapak baharu bagi Hospital Kampar di sini, hari ini.

LAP telah memberhentikan operasi LRA Ayer Ganda di Gerik pada 9 April lepas susulan penemuan sisa arsenik, sejenis logam berat dalam sampel air Sungai Rui di Hulu Perak baru-baru ini dan arahan itu dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Semalam, SPAN dalam satu kenyataan berkata kandungan arsenik pada sumber air mentah di LRA itu melebihi had piawaian ditetapkan Kementerian Kesihatan berdasarkan Standard Kualiti Air Minum Kebangsaan.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu