Military personnel mother hopes her son and colleague are safe and sound [ 3h ago ]

Raja Perlis harap nilai perpaduan diberi penekanan di sekolah

Tarikh kemaskini: 18/04/2019
Perlis
KANGAR, 18 April (Bernama) -- Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berharap Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan serta mata pelajaran Sejarah diberi penekanan di sekolah sebagai pemangkin perpaduan rakyat.

Baginda bertitah, peristiwa hitam 13 Mei 1969 yang mencalar keharmonian kaum perlu menjadi iktibar supaya ia tidak berulang lagi.

“Rusuhan kaum yang memuncak dalam peristiwa itu menyaksikan negara mengalami kerugian kerana ramai rakyat terkorban dan banyak harta benda musnah.

"Di sinilah pentingnya kedua-dua subjek itu untuk melahirkan pelajar yang menghargai negara dan menghormati perpaduan berteraskan Rukun Negara,” titah baginda.

Baginda berkata demikian ketika merasmikan Hari Anugerah Cemerlang dan Hari Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma 2019 di Dewan Syed Mahmood di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut Pengarah Pendidikan Perlis, Izmi Ismail dan Pengetua SMK Derma, Fauziah Abdul Hamid.

Berangkat sama Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga alumni SMK Derma (1980-1982) dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Pada majlis tersebut, Tuanku Syed Sirajuddin turut membuka kapsul masa secara simbolik yang telah ditanam oleh Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail 20 tahun lalu iaitu pada 1 Ogos 1999.

Raja Perlis itu turut menyampaikan Anugerah Khas Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis peringkat sekolah itu kepada Najah Afiqah Rose Aza yang memperolehi semua A+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018.

-- BERNAMA









BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu