Man seriously injured in Sik firecracker mishap [ 8m ago ]

Penyambungan semula projek ECRL tepat masanya sebagai pemangkin pasaran ekuiti

Tarikh kemaskini: 18/04/2019
Oleh Nurul Hanis Izmir



KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Keputusan untuk menyambung semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) selepas sembilan bulan rundingan adalah tepat pada masanya, kerana ia akan menjadi pemangkin bagi pasaran ekuiti berikutan persekitaran luaran yang amat mudah meruap, kata Bank Islam Malaysia Bhd.

Ketua ekonominya, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata peningkatan penyertaan tempatan dalam projek itu amat baik kepada sektor berkaitan pembinaan berikutan para kontrakor tempatan akan mendapat manfaatnya.

“Ini, sekali gus, akan memberikan pelbagai impak positif kerana permintaan terhadap bahan binaan seperti besi dan simen akan meningkat,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata untuk jangka panjang, projek itu akan menggalakkan pembinaan infrastruktur lain seperti lebuh raya dan pelabuhan untuk melancarkan lagi perdagangan antarabangsa.

Bagaimanapun, MIDF Research masih mengekalkan saranan “neutral” terhadap sektor pembinaan, mengambil kira jangkaan harga projek ECRL sudah dimasukkan.

“Ini dicerminkan pada prestasi indeks pembinaan KL (KLCON) yang dilihat bergerak lebih pantas daripada asasnya, sebelum pengumumannya.

“Penerima manfaat segera daripada projek ECRL ialah Lafarge Malaysia (yang mengeluarkan simen, pelbagai bahan pembinaan lain dan konkrit) dan HSS Engineers,dengan kedua-duanya sebelum ini telah memperoleh kerja pada saiz agak besar daripada China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC),” katanya.

MIDF Research berkata penerima manfaat lain yang berpotensi ialah Gabungan AQRS (beli, harga sasaran (TP) pada RM1.87), Muhibbah Engineering (beli, TP: RM3.73), IJM Corp (neutral, TP: RM1.85), MRCB (beli, TP: RM0.90) dan WCT (neutral, TP: RM0.88).

MIDF Reaserch berkata ia mengambil perhatian bahawa semakan semula besar-besaran yang dilakukan pada projek rel itu menyaksikan laluan di bahagian selatan telah diubah ke Negeri Sembilan.

“Selain itu, landasan sedia ada dijajarkan semula untuk mengelak daripada merentasi bahagian curam Banjaran Titiwangsa sebagai langkah untuk mengurangkan kos.

“Berdasarkan jajaran baharu itu, perjalanan daripada Pelabuhan Klang akan terlebih dahulu menghala ke selatan ke Jelebu, Negeri Sembilan, sebelum diteruskan ke Mentakab, Pahang,” katanya.

Ditanya sama ada penjajaran semula itu akan mengurangkan faedah dan kesan limpahannya, rakan pengurusan kumpulan Thought Partner Group Malaysia Abi Sofian Abdul Hamid berkata ia bergantung pada perspektif tentang bagaimana sesuatu pihak itu melihatnya.

“Pada awalnya, penjajaran semula bermakna melalui beberapa kawasan baharu yang tiada permintaan mendesak bagi rel. Bagaimanapun, ia turut membuka pelbagai peluang baharu untuk mewujudkan kawasan perumahan baharu dan kawasan perindustrian, dengan syarat perlu ada perancangan betul dengan penyelarasan baik,” katanya.

Abi Sofian berkata perancangan baharu itu perlu menyemak semula Pelan Induk Logistik dan Pengangkutan sedia ada berikutan tanah berhampiran stesen-stesen baharu perlu mempunyai peruntukan bagi perumahan yang benar-benar mampu milik.

“Kerajaan patut membekukan (harga hartanah) atau mencegah speklator membuat spekulasi ke atas kawasan yang terbabit di sepanjang jajaran itu. Sekiranya perumahan diambil kira, mesti ada peluang pekerjaan di kawasan berhampiran,” katanya.

Abi Sofian berkata jenis pekerjaan yang diwujudkan juga perlu dikaji dan ini mungkin memerlukan semakan dilakukan terhadap sumber yang ada daripada agensi seperti Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra).

“Jajaran baharu itu perlu mengelakkan impak tambahan terhadap alam sekitar, terutamanya Rabung Kuarza Genting Klang (perlu membiarkannya tidak disentuh).

“Dengan kontrak baharu, difahamkan kos dikurangkan, dengan perkongsian tanggungjawab yang lebih jelas ke atas kawasan antara syarikat tempatan dan China,” katanya.

Pada Isnin, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) bersetuju untuk membentuk syarikat usaha sama (JV) 50:50 untuk mengurus, mengoperasi dan menyelenggara rangkaian rel ECRL.

Secara menyeluruh, projek itu akan diteruskan pada harga dikurangkan (untuk kerja pembinaan) sebanyak RM44 bilion, berbanding RM65.5 bilion semasa ia pertama kali diumumkan oleh kerajaan terdahulu pada 2016.

Di samping pengurangan kos, jajaran baharu adalah dari Kota Bharu-Mentak­ab-Jelebu-Kuala Kelawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan seterusnya ke Pelabuhan Klang yang jaraknya dipendekkan kepada 648 km daripada 688 km pada asalnya.

Jajaran semula itu akan menyaksikan laluan rel melalui enam stesen di Terengganu -- Chukai, Kema­sik, Dungun, Pengkalan Bera­n­gan, Kuala Terengganu dan Kam­pung Raja.

Sementara itu, Dr Shahrin Nasir, Timbalan Pengarah (Jaringan Industri dan Komersial), Institut Pengangkutan Malaysia, Universiti Teknologi MARA, berkata perjanjian ECRL akan turut memanfaatkan industri minyak sawit Malaysia.

“Seperti dinyatakan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kerajaan China juga bersetuju untuk membeli minyak sawit daripada Malaysia berikutan penyambungan semula projek itu. Ini adalah sebahagian daripada rundingan perjanjian dan ia akan meningkatkan perdagangan antara kedua-dua negara,” katanya.

Sebelum ini, Dr Mahathir dilaporkan sebagai berkata Putrajaya akan memanfaatkan rundingan projek itu dan mendapatkan persetujuan China untuk meningkatkan pembelian minyak sawit.

Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim turut menzahirkan harapannya agar perdana menteri membangkitkan isu itu kepada kerajaan China pada lawatan kerjanya ke Sidang Kemuncak Satu Jalur, Satu Jalan di Beijing pada hujung April.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu