PDPRM denies dropping words 'Allah', 'Muhammad' in logo [ 5m ago ]

LRA Sungai Dua lokasi lawatan teknikal Ekspo Asiawater 2020

Tarikh kemaskini: 18/04/2019
BUTTERWORTH, 18 April (Bernama) -- Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di Seberang Prai akan menjadi tapak lawatan teknikal industri bagi Forum dan Ekspo Asiawater 2020 tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk Jaseni Maidinsa berkata ini merupakan kali pertama loji rawatan air Pulau Pinang dipilih sebagai tapak lawatan teknikal industri Asiawater.

"Acara ini akan menghimpunkan pakar air, profesional industri dan pelabur utama dari seluruh dunia untuk berkongsi pengetahuan, rangkaian serta mengusahakan potensi kerjasama projek.

"Peserta yang ingin melawat LRA Sungai Dua akan datang ke Pulau Pinang pada 2020 untuk lawatan teknikal berjadual yang diselaraskan oleh Asiawater," katanya kepada pemberita selepas lawatan ke tapak itu bersama Penasihat Asiawater Datuk Teo Yun Hua di sini hari ini.

Beliau berkata Asiawater adalah acara antarabangsa dwitahunan terulung bagi industri air dan air kumbahan di Asia.

Bagaimanapun, Teo berkata pemilihan LRA Sungai Dua dibuat berikutan kejayaannya memenangi pelbagai anugerah, terkini adalah Anugerah Pencapaian Industri Persatuan Air Malaysia 2018 bagi Loji Rawatan Air Terbaik.

"LRA Sungai Dua juga adalah loji terbesar di negara ini dan diuruskan oleh PBAPP, yang berjaya menjadikan Pulau Pinang sebagai satu-satunya negeri di Malaysia tanpa catuan air sejak 2008 dan masih menikmati tarif air domestik paling rendah,” katanya.

Beliau berkata tema ekspo "Menerima Perubahan, Memburu Kecemerlangan" memberi tumpuan kepada menggalakkan usaha kerajaan Persekutuan untuk membawa perubahan dan menambah baik industri perkhidmatan air serta air kumbahan di negara ini.

"Sungguhpun mempunyai satu daripada infrastruktur air paling tersusun, Malaysia turut berdepan cabaran besar dalam industri air, seperti kadar Air Tanpa Hasil (NRW) yang tinggi, dan infrastruktur air lama yang sangat konvensional dan serta tidak dijaga dengan baik.

"Mengambil maklum segala cabaran ini, kerajaan Persekutuan membuat pelaburan dalam infrastruktur air dan pembinaan loji rawatan air baharu serta mempertingkatkan kemudahan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata acara itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 31 Mac hingga 2 April tahun depan, dijangka disertai lebih 17,000 anggota perwakilan dan pelawat dari 48 negara.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu