Sumatran rhino's health worrying [ 3m ago ]

Adakan lebih banyak acara untuk tarik pelancong pada hari biasa - Bakhtiar

Tarikh kemaskini: 18/04/2019
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik
PORT DICKSON, 18 April (Bernama) -- Pemain industri pelancongan tempatan perlu mengadakan lebih banyak acara pada hari biasa dalam usaha menarik kedatangan pelancong pada hari biasa berbanding hujung minggu dan cuti persekolahan.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata selain itu, pihak hotel juga boleh menawarkan kadar khas yang lebih rendah pada hari-hari biasa, berbanding kadar hujung minggu.

"Ini adalah salah satu usaha untuk menarik kedatangan pelancong pada hari-hari biasa. Kita akui, sebagai contoh di Port Dickson akan penuh sesak dengan pengunjung pada hujung minggu, begitu juga di Melaka dan Cameron Highlands akan dipenuhi pengunjung pada cuti sekolah.

"Acara yang diadakan tersebut tidak semestinya diadakan pada hujung minggu, tetapi boleh diadakan pada hari-hari biasa untuk menarik kedatangan pelancong. Ini hanyalah sebagai pandangan saya untuk menarik kedatangan pelancong pada hari-hari biasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Tourism Malaysia Travel Mart 2019 @ Negeri Sembilan anjuran Tourism Malaysia di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Musa Yusof serta Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perpaduan, Penerangan dan Integrasi Nasional Negeri Sembilan Choo Ken Hwa.

Mengulas lanjut, beliau berkata mengikut kajian pelancongan domestik oleh Jabatan Statistik yang dibuat setiap tahun mendapati trend menunjukkan penduduk tempatan akan melancong semasa musim cuti.

"Tetapi apa yang dibuat oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya kini ialah mendidik penduduk tempatan melalui kempen 'Merancang Percutian Anda'. Bermakna, mereka tidak perlu menunggu semasa musim cuti untuk melancong tetapi merancang percutian dan ini lebih menjimatkan. Oleh itu, jangan sesekali merancang cuti anda semasa musim puncak kerana ini akan menimbulkan banyak aduan seperti kesesakan, perkhidmatan tidak baik, kos yang tinggi dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, katanya kementeriannya telah mewujudkan pasukan petugas untuk menangani masalah ejen pelancongan haram.

Katanya pasukan pasukan petugas itu telah mengadakan beberapa perbincangan dengan pihak berkepentingan termasuk pihak polis, Jabatan Imigresen, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan sebagainya dalam menangani masalah ejen pelancongan haram.

"Dalam perkara ini, kita perlu perkasakan lagi penguatkuasaan supaya tidak ada lagi pihak-pihak yang menjadi ejen pelancongan haram," katanya.

Mengenai program Tourism Malaysia Travel Mart 2019 @ Negeri Sembilan, beliau berkata ia adalah program sehari bertujuan menemukan pengusaha pelancongan dengan pengusaha produk dan hotel di negeri ini di bawah satu bumbung bagi mendapatkan pelbagai pilihan pakej pelancongan domestik khususnya di Negeri Sembilan.

Program itu yang berkonsepkan Perniagaan kepada Perniagaan atau B2B ini melibatkan pertemuan dua hala antara pengusaha produk dan hotel dari Negeri Sembilan dengan pembeli berpotensi yang terdiri daripada kalangan pengusaha pelancongan yang dibawa khas dari sekitar Lembah Klang, Melaka dan Johor.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu