Maybank salur RM352,000 bantuan zakat pelajaran kepada pelajar Malaysia di Indonesia [ 42m ago ]

15 bekas pemain 'Perlis Northern Lion 2' terima tawaran sertai Perlis FC

Tarikh kemaskini: 21/04/2019
KANGAR, 21 April (Bernama) -- Lima belas bekas pemain Perlis Northern Lions 2 (PNL2) menerima tawaran menyertai pasukan baharu iaitu Perlis FC yang dikendalikan bekas Ketua Jurulatih Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Manja Man.

Menurut Manja 15 pemain itu menunjukkan minat untuk menyertai Perlis FC kerana bosan dengan pengurusan PFA yang tidak menunaikan janji sehingga digantung oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

“Saya berharap penubuhan Perlis FC akan membawa sinar baharu untuk bekas pemain PNL2 dan mereka akan bertanding dalam Harini Liga Terbuka Perlis 2019,” katanya kepada media selepas pelancaran Perlis FC di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Manja berkata beliau mengambil tanggungjawab untuk memajukan Perlis FC kerana mendapat kepercayaan dan diamanahkan oleh pengurusan Harini Sdn Bhd bagi mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak di Perlis.

Lima belas pemain yang menerima tawaran menyertai Perlis FC akan dibayar elaun perlawanan serta latihan dan mereka dijangka menandatangani kontrak pada Oktober ini.

Perlis FC juga mendapat tawaran Persatuan Bola Sepak Melayu Perlis untuk bertanding dalam Piala Emas Raja-Raja yang bermula September depan, kata Manja.

Kejohanan Harini Liga Terbuka 2019 akan bermula 27 April ini melibatkan 20 pasukan dari Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Perlawanan akan diadakan di padang bola Universiti Teknologi Mara, Perlis, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Padang Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Simpang Empat.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu