AM

DANA RM5 JUTA PROGRAM MYSI BOLEH DIMOHON MULAI 1-31 MEI - MESTECC

03/05/2019 06:20 PM

PUTRAJAYA, 3 Mei (Bernama) – Dana Program Malaysia Social Innovation (MySI) 2019 berjumlah RM5 juta boleh dimohon mulai 1 sehingga 31 Mei ini, kata Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).

“Ia terbuka kepada semua agensi/syarikat berkaitan kerajaan yang berada di bawah semua kementerian,” kata MESTECC dalam satu kenyataan hari ini.

Dana itu dahulunya dikenali sebagai Program MOSTI Social Innovation (MSI) dan hanya terbuka kepada agensi-agensi di bawah MESTECC sebelum dijenamakan sebagai  MySI pada Januari lepas.

Tujuan dana dan program MySI itu adalah untuk meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat terutama golongan B40 melalui pelaksanaan projek aplikasi teknologi penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan berinovatif yang telah dibangunkan dan sedia dilaksanakan secara mampan.

Menurut kementerian itu, sehingga akhir 2018, sebanyak 109 projek telah dibiayai melalui program MSI dengan kira-kira 45,000 penerima manfaat sama ada secara langsung dan tidak langsung.

Pada tahun ini, kata MESTECC terdapat lima bidang keutamaan bagi pelaksanaan projek MySI iaitu ekonomi (pertanian, perikanan dan penternakan), teknologi hijau, mesra alam, kesihatan dan keselamatan.

Timbalan Menteri  Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis dalam kenyataan berkata beliau mahu pemohon dana MySI menggunakan peluang itu membantu kumpulan sasar seperti orang kurang upaya, ibu bapa tunggal, warga emas, penganggur, peladang dan  penternak.

“Kesan daripada pelaksanaan projek dapat menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat menerusi aspek peningkatan produktiviti dan pertambahan pendapatan serta mampu mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada mereka,” katanya.

Isnaraissah berkata antara projek MSI yang berjaya adalah projek Bekalan Air Bersih untuk Komuniti Kampung Rumindako Kiulu, Tamparuli, Sabah dengan menggunakan teknologi sistem membran penapisan air minuman mudah alih (Pahlawan Tuah2000) yang merupakan hasil R&D oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Sabah.

Projek yang dilaksanakan oleh Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) itu membekalkan air bersih sebanyak 2,000 liter/jam untuk kegunaan penduduk di Kampung Rumindako Kiulu, Tamparuli.

Ia telah memanfaatkan 1,800 penerima dan menjimatkan kos bekalan air kepada 200 isi rumah dengan anggaran penggunaan air setahun bernilai RM240.00/seisi rumah (RM20.00/sebulan).

Maklumat lanjut mengenai program dan borang permohonan boleh diperoleh menerusi laman web MESTECC iaitu di https://www.mestecc.gov.my/.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan