PPZ-MAIWP Khaira Care bantu ibu tunggal [ 3m ago ]

Beberapa kejadian gempa melanda barat daya Jepun, tiada amaran tsunami

Tarikh kemaskini: 10/05/2019
TOKYO, 10 Mei (Bernama) -- Wilayah Miyazaki di pantai tenggara Pulau Kyushu, barat daya Jepun dikejutkan dengan beberapa gempa bumi pada Jumaat pagi, lapor agensi berita Xinhua memetik agensi cuaca negara itu, namun tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA), gempa bermagnitud 5.6 melanda Miyazaki dan wilayah sekitarnya pada 7.43 pagi waktu tempatan (2243 GMT Khamis).

Gempa berpusat di Laut Hyuga-nada, sebahagian dari Lautan Pasifik yang terletak di pantai timur Pulau Kyushu, ke barat daya pulau Honshu, di pantai selatan Jepun.

Menurut JMA gempa dilaporkan pada skala tiga seismik Jepun, mencapai skala tertinggi iaitu tujuh di wilayah Miyazaki dan Kagoshima.

Gempa berukuran 6.3 magnitud pada skala lima melanda Miyazaki pada 8.48 pagi waktu tempatan (2348 GMT Khamis), kata agensi itu.

Gegaran kedua pada skala empat melanda di Kumamoto, Oita dan wilayah Kagoshima, kata JMA, dan di kawasan sekitarnya mencatatkan skala tiga.

Gempa bumi 4.9 magnitud kemudian dilaporkan pada 9.07 pagi waktu tempatan (0007 GMT Jumaat).

Tiada amaran tsunami dikeluarkan dan mengenai sebarang kecederaan mahupun kerosakan termasuk di loji nuklear di negara itu.

Laporan media tempatan mengatakan gempa itu kemungkinan boleh mengakibatkan kelewatan penerbangan di lapangan terbang Miyazaki, Kumamoto, Kagoshima.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu