Lelaki cedera parah tangan kiri terkena letupan mercun bola [ 13m ago ]

Pemain semikonduktor global akan suarakan kebimbangan perang perdagangan kepada AS

Tarikh kemaskini: 10/05/2019
Oleh Aishah Mohmad Afandi

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Pemain semikonduktor global akan mengadakan pertemuan dengan para pegawai Amerika Syarikat (AS) minggu depan untuk menyuarakan kebimbangan industri berkaitan perang perdagangan yang berterusan antara AS dan China.

Presiden SEMI Southeast Asia Ng Kai Fai berkata beliau berharap pertemuan itu akan memberikan kejelasan berkaitan hala tuju perdagangan dan menyelesaikan isu-isu yang dihadapi oleh sektor elektrik dan elektronik (E&E).

“Perang perdagangan tidak baik bagi sesiapa pun. SEMI menyokong perdagangan bebas dan perang perdagangan yang berterusan memberi kesan negatif ke atas industri dan ekonomi global,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau yakin perdagangan global E&E akan melantun semula tidak lama lagi.

“Barangkali bukan dalam suku seterusnya, tetapi saya percaya sentimen positif itu akan kembali sekiranya ketegangan antara kedua-dua kuasa ekonomi dunia itu mereda,” katanya.

SEMI adalah persatuan syarikat industri global dalam sektor E&E.

Kedua-dua AS dan China ketika ini sedang merundingkan perjanjian perdagangan baharu, susulan kekalutan pada minggu lepas yang menyaksikan Presiden AS Donald Trump mengancam menaikkan tarif sebanyak 25 peratus ke atas barangan diimport dari China bernilai US$200 bilion daripada 10 peratus.

Ng berkata ketika ini, syarikat AS dan China sedang memikirkan semula strategi perniagaan mereka dan Malaysia perlu memanfaatkannya untuk mempromosikan pembuatan berkualiti negara.

“Pada masa yang sama, syarikat-syarikat perlu memulakan sistem pembuatan pintar yang akan meningkatkan kecekapan dan ketepatan dalam komponen elektrik sensitif pembuatan,” katanya.

Mengenai permintaan dalam sektor E&E, beliau berkata industri itu mungkin mengalami kelembapan tahun ini, tetapi dijangka pulih semula pada bulan-bulan akan datang.

“Bahagian pasaran global bagi E&E meningkat beberapa tahun lalu, ia berjumlah US$200 bilion pada 2000 dan dijangka mencecah US$500 bilion menjelang 2020,” kata Ng.

Beliau berkata pemacu utama yang akan melonjakkan lagi sektor E&E adalah teknologi generasi seterusnya yang melibatkan pemasangan 5G, bandar pintar dan kenderaan panduan sendiri.

“Kekuatan Malaysia terletak kepada pembuatan berkualitinya, dan sekiranya negara memanfaatkannya dengan betul, ia akan menjadi perhatian dalam industri dan menarik lebih banyak pelaburan asing berkualiti dalam sektor E&E,” katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu