Keeping patriotism alive with a Rukun Negara sketch competition [ 3m ago ]

Kazakhstan mahu tarik lebih ramai pelancong Malaysia

Tarikh kemaskini: 10/05/2019
Oleh Voon Miaw Ping

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Kazakhstan kini dalam usaha untuk menarik lebih ramai pelancong Malaysia mengunjungi negara di Republik Asia Tengah itu.

Wakil Pelancongan dan Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri Almaty, Eshanova Akmaral berkata, republik itu mahu mejadikan industri pelancongan sebagai jambatan meningkatkan hubungan rakyat antara kedua-dua negara, sambil memperkukuhkan lagi hubungan dua hala yang terjalin selama ini.

"Kami melihat banyak potensi dalam sektor pelancongan untuk ditawarkan kepada rakyat Malaysia. Kazakhstan dan Malaysia punyai banyak persamaan termasuk kepelbagaian etnik yang terdapat di kedua-dua negara.

"Kami sedang berusaha untuk mempromosikan Kazakhstan sebagai destinasi pelancongan menarik kepada pelawat dari Malaysia dan tahun ini, kami berkolaborasi dengan pihak berkuasa pelancongan untuk mempromosikan Almaty," katanya kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama pada Persidangan Melawat Almaty 2019 di sini, Selasa.

Sementara itu, Pengurus Besar Serantau Air Astana bagi Asia Tenggara, Australia dan New Zealand Balachandran Chinna Swami berkata, pihaknya sedang berusaha meningkatkan operasi penerbangan antara Kuala Lumpur dengan Almaty.

Air Astana kini terbang tiga kali seminggu sejak memulakan penerbangan langsung antara Kuala Lumpur-Almaty pada 2009.

Sekarang pelancong Malaysia tidak perlu mendapatkan visa untuk mengunjungi Kazakhstan, sehingga 30 hari.

Akmaral berkata lebih 5,000 pelancong Malaysia telah melawat Kazakhstan pada 2018 manakala untuk empat bulan pertama tahun ini seramai lebih 2,000 pelawat.

Terletak di kaki bukit Trans-Ili Alatau, Almaty adalah bandar terbesar di Kazakhstan dan memiliki permandangan menakjubkan.

Almaty juga merupakan hab budaya dan perniagaan di Kazakhstan, memiliki keistimewaan tersendiri dengan dihiasi suasana kehijauan, keindahan taman dan monumen bersejarah.

Statistik rasmi menunjukkan perdagangan dua hala Malaysia-Kazakhstan pada 2018 bernilai US$478 juta, daripada jumlah itu 73 peratus (US$351.7 juta) adalah hasil eksport manakala 27 peratus (US$126.1 juta) lagi untuk import.

Eksport Kazakhstan ke Malaysia termasuk minyak mentah, produk dari logam ferus, instrumen geodetik, alat ukur serta kelengkapan paip.

Antara eksport utama Malaysia ke Kazakhstan pula terdiri minyak kelapa sawit, pelincir, produk getah, pakaian, perabot, barangan elektrik dan elektronik, peralatan serta alat ganti.

-- BERNAMA






BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu