Maybank salur RM352,000 bantuan zakat pelajaran kepada pelajar Malaysia di Indonesia [ 44m ago ]

Kira-kira 65 lemas kapal karam di perairan Tunisia: UNHCR

Tarikh kemaskini: 11/05/2019
GENEVA, 11 Mei (Bernama) -- Kira-kira 65 orang lemas selepas bot dinaiki tenggelam 45 batu nautika di pantai Tunisia pada Jumaat, kejadian paling buruk di Mediterranean dalam tempoh beberapa bulan, kata Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dalam satu kenyataan.

"Ia kejadian yang tragis dan menyedarkan kita bahawa pelbagai risiko perlu dihadapi mereka yang cuba menyeberangi Mediterranean," kata Utusan Khas UNHCR bagi Mediterranean, Vincent Cochetel.

Katanya, 16 mayat ditemui dan dibawa ke pantai Zarzis oleh Tentera Laut Tunisia, lapor agensi berita Xinhua.

Media Tunisia sebelum ini melaporkan, sekurang-kurangnya 70 pendatang tanpa izin maut dan 16 diselamatkan dari sebuah kapal karam.

Menurut agensi berita Tunisia, mangsa adalah warga Afrika sub-Sahara dalam perjalanan dari Libya menuju ke perairan di Itali.

Mangsa terselamat berkata kumpulan itu meninggalkan Zuwara, kira-kira 120 kilometer di barat Tripoli, Khamis petang dan bot mengalami masalah disebabkan gelombang ombak yang kuat.

UNHCR berkata insiden terbaru itu mencatatkan jumlah korban paling ramai, sejak kira-kira 117 orang terbunuh atau hilang pada pertengahan Januari lalu.

Menurut agensi itu lagi, 164 orang maut di laluan antara Libya dan Eropah dalam tempoh empat bulan pertama 2019.

Tunisia, terletak di sepanjang Mediterranean, menjadi laluan utama menuju ke Eropah.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu