Kajian semula GCC manfaatkan pengguna [ 2m ago ]

Tentera Thailand ambil kesempatan jalin hubungan baik dengan penduduk sempena Ramadan

Tarikh kemaskini: 11/05/2019
YALA (SELATAN THAILAND), 11 Mei (Bernama) -- Pergolakan yang berlaku di Wilayah Selatan Thailand kini dilihat semakin pulih malah pihak tentera yang ditugaskan ke kawasan berkenaan kini mulai menjalankan kerja kemasyarakatan dalam usaha memperbaiki hubungan dengan penduduk.

Dalam menjalin hubungan baik berkenaan, pihak tentera tidak melepaskan peluang di bulan Ramadan untuk menjalin hubungan mesra dengan menyumbangkan bekalan makanan serta menghulurkan sumbangan berbuka seperti kurma kepada penduduk kampung.

Komander Pasukan Khas Wilayah Yala dekat Thanto, Leftenan Phongphiphat Sartjumroen berkata bagi mengambil hati penduduk pihak tentera akan berterusan menjalankan tugas menjaga keselamatan serta membantu penduduk kampung yang dalam kesusahan.

Beliau berkata pihak tentera kini dalam usaha membantu penduduk miskin yang kebanyakannya penoreh getah termasuk menyumbangkan pelbagai keperluan.

"Pada bulan Ramadan ini kita turut menyampaikan kurma untuk berbuka puasa selain bekalan makanan, selimut serta membantu penduduk membaiki keadaan rumah yang uzur.

“Setakat ini kita sudah mengenal pasti sebanyak 40 buah rumah di Kampung Buloh Belian di sini, yang perlu dibaikpulih. Sekiranya atap bocor kita akan tukarkan dengan yang baharu dan akan cuba melaksanakannya secara bersama dengan penduduk kampung," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata gerak kerja yang dijalankan sejak Januari lalu dilihat mendapat maklum balas positif daripada masyarakat tempatan dan kehadiran tentera turut disambut dengan baik oleh penduduk.

“Kita tak dapat nak pastikan jumlah sebenar peruntukan yang disalurkan kerajaan dalam membantu penduduk namun kita akan cuba memberikan bantuan sama ada dari segi tenaga dan peralatan yang ada. Yang paling penting hubungan baik ini akan dapat dikekalkan buat selamanya," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk kampung yang ditemui, Mohamad Farid Hassan, 59, berkata beliau bersyukur kerana menerima bantuan daripada pihak tentera.

Mohamad Farid yang mempunyai empat anak berusia antara lima dan 11 tahun serta masih bersekolah berharap dapat meneruskan pekerjaannya sebagai penoreh getah dengan aman.

"Walaupun bantuan yang diterima tidak menentu tetapi setiap tahun pasukan tentera akan menyampaikan bantuan kepada kami sekeluarga memandangkan pendapatan sebagai penoreh getah hanya sekitar THB113 (kira-kira RM15) sehari namun apa yang penting nikmat keamanan yang dikecapi akan berterusan," katanya.

Bagi Rogayah Ahmad, 38, pula beliau berterima kasih kepada tentera yang membantu membaikpulih rumah pusaka keluarganya yang hanya berdindingkan buluh sebelum ini.

"Saya dan suami hanya bekerja sebagai penoreh getah dan pencari buah pinang di sekitar kampung. Dengan pendapatan tidak seberapa itu sudah pasti tidak mampu membiayai lima orang anak yang masih bersekolah.

"Alhamdulillah, dengan adanya bantuan daripada tentera sikit sebanyak dapat meringankan beban kami. Walaupun rumah baru yang dibina dengan kerjasama tentera belum siap sepenuhnya namun saya bersyukur ada pihak yang sudi membantu," katanya.

-- BERNAMA







BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu