MTW2019 Kick off today [ 4h ago ]

Kenaikan tarif AS: Korea Selatan ambil langkah stabilkan pasaran

Tarikh kemaskini: 13/05/2019
SEJONG, 13 Mei (Bernama) -- Korea Selatan akan mengambil langkah menstabilkan pasaran kewangannya jika perlu dan kenaikan tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas produk import China mungkin memberikan kesan terhad ke atas pasaran kewangan, lapor agensi berita Yonhap.

Naib Menteri Ekonomi dan Kewangan pertama, Lee Ho Seung berkata pada Isnin kesan langsung tindakan AS ke atas sektor ekonomi Korea Selatan adalah terhad. Tarif ke atas barangan China berkuat kuasa mulai 10 Mei.

Pada Jumaat AS menaikkan tarif sebanyak 25 peratus daripada 10 peratus terhadap barangan import China bernilai US$200 bilion.

AS dan China menamatkan rundingan perdagangan tanpa perjanjian minggu lepas, meningkatkan ketidaktentuan dalam perdagangan global.

Namun, kedua-dua pihak masih menunjukkan kesediaan untuk terus mengadakan perbincangan, walaupun tiada tempoh masa tertentu ditetapkan.

Lee berkata kerajaan akan mengambil langkah pencegahan bagi meminimumkan sebarang kesan kejatuhan akibat situasi itu.

Rizab asing Korea Selatan berjumlah US$404.03 bilion pada akhir April, kesembilan terbesar di dunia, menurut Bank of Korea.

Korea Selatan - sebuah ekonomi kecil dan terbuka - sangat bergantung pada eksport dan pelaburan modal asing, membuatkan negara itu terdedah kepada kejutan luaran.

-- BERNAMA






BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu