MTW2019 Kick off today [ 3h ago ]

Djokovic juara tenis terbuka Madrid buat kali ketiga

Tarikh kemaskini: 13/05/2019
Novak Djokovic (Gambar: -/SMG via ZUMA Wire/dpa)
MADRID, 13 Mei (Bernama) -- Pilihan pertama dari Serbia, Novak Djokovic meraih gelaran Terbuka Madrid buat kali ketiga selepas menundukkan Stefanos Tsitsipas dari Greece 6-3, 6-4 pada petang Ahad, lapor agensi berita Xinhua.

Pemain nombor satu dunia itu mempamer permainan lebih kemas ketika mengatasi Tsitsipas berbanding ketika aksi separuh akhir, menyaksikan beliau bergelut untuk mengalahkan Dominic Thiem dari Austria, 7-6, 7-6.

Djokovic menjulang piala Madrid selepas mengharungi minggu tanpa tewas satu pun set dan kini mengumpul 33 gelaran juara Masters 1000, jumlah sama diraih Rafael Nadal dan lebih lima berbanding Roger Federer.

Pemain Serbia itu memulakan aksi hampir sempurna apabila mematahkan servis Tsitsipas pada permainan kedua di set pertama dan mengekalkan rentak untuk menang 6-3.

Pada set kedua, Tsitsipas terpaksa berhempas pulas menyelamatkan dua mata akhir pada permainan ketiga, tetapi terpaksa akur terhadap kehebatan servis Djokovic dalam permainan berikutnya.

Djokovic mampu mematahkan servis penting pada permainan ke sembilan set kedua itu untuk menjadikan kedudukan 5-4, sebelum menyempurnakan servisnya bagi menjulang gelaran Madrid 2019, selepas turut muncul juara pada 2011 dan 2016.

-- BERNAMA






BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu