Lubnan, Arab Saudi jalin kerjasama kekalkan keamanan di negara-negara Arab [ 2m ago ]

Kemerdekaan Namibia, negara terhutang budi dengan Nujoma, kata Presiden Geingob

Tarikh kemaskini: 13/05/2019
WINDHOEK, 13 Mei (Bernama) -- Rakyat Namibia amat terhutang budi terhadap Presiden pertama negara itu, Sam Nujoma kata Presiden Hage Geingob sempena ulang tahun ke-90 Nojuma pada Ahad, lapor agensi berita Namibia (NAMPA).

“Pada usia amat muda, beliau sudah bangkit dan berjuang menentang pendudukan haram regim apartheid Afrika Selatan ke atas negara itu," kata Geingob menerusi kenyataan rasmi dikeluarkan Rumah Negara.

Kemerdekaan Namibia dihiasi pelbagai pengorbanan dan jasa Nojuma serta komitmen seumur hidupnya terhadap kebebasan serta perpaduan rakyat Namibia, kata presiden itu.

Beliau menyifatkan Nojuma sebagai pemimpin berwawasan, pejuang kemerdekaan dan panglima Tentera Pembebasan Rakyat Namibia yang berani.

Di bawah kepemimpinan Nojuma kata Geingob, rakyat Namibia mula mengecapi kehidupan yang lebih baik.

“Bagaimanapun, perjalanan untuk mencari kemakmuran dan pertumbuhan menyeluruh dalam fasa kedua perjuangan untuk kemakmuran ekonomi masih belum sempurna," katanya.

Geingob berkata, Namibia sentiasa bersyukur terhadap asas kukuh didirikan Nujoma yang berjaya memimpin negara untuk mencapai kemerdekaan bagi memboleh rakyat meneruskan kehidupan dengan saksama dan bermaruah.

“Bagi pihak Kerajaan Republik Namibia dan seluruh rakyat jelata, saya dengan penuh takzim mengucapkan selamat ulang tahun ke-90 kepada Bapa Kemerdekaan kita,” katanya.

-- BERNAMA






BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu