Mahkamah rayuan kekal hukuman penjara 25 tahun ke atas dua lelaki lakukan pengeboman [ 9m ago ]

Australia guna teknologi SMART untuk tangkap, lepas ikan jerung di pantai popular

Tarikh kemaskini: 13/05/2019
SYDNEY, 13 Mei (Bernama) -- Seekor jerung harimau sepanjang 3.5 meter adalah antara sejumlah haiwan pemangsa berbahaya yang ditangkap dan dilepaskan di beberapa pesisir pantai Sydney semasa tempoh percubaan selama ujian 90 hari teknologi baharu Shark Management Alert in Real Time (SMART).

SMART menggunakan kail berumpan tidak berbahaya yang memberi amaran kepada para saintis apabila ikan jerung ditangkap, bagi membolehkan mereka menanda, memindahkan serta menjejaki haiwan itu menggunakan GPS.

"Kami telah mendapat keputusan yang baik daripada drumlin SMART yang ditempatkan di sepanjang pantai New South Wales pada musim panas ini," kata Menteri Pertanian Adam Marshall pada Ahad.

"Di Sydney sahaja, kami berupaya menangkap 14 ekor ikan jerung dalam tempoh 90 hari manakala di Pantai Selatan, sejumlah 16 spesies telah ditangkap termasuk 6 ekor jerung putih dan 5 ekor jerung harimau."

Kesemua haiwan telah ditanda bagi tujuan pemantauan saintifik dan keselamatan sebelum dibebaskan pada jarak kira-kira sekilometer dari luar pesisir.

"Keindahan teknologi ini ialah ia bukan sekadar mencegah pertembungan dengan ikan jerung malah membenarkan saintis memantau haiwan itu yang telah ditanda serta mengetahui dengan lebih lanjut tingkah laku mereka," kata Marshall.

"Program penandaan ikan jerung kami kini dianggap sebagai yang terbesar di dunia."

Pihak yang terbabit dengan projek ini akan menganalisis keputusan mereka sebelum memutuskan bagaimana menggunakan teknologi itu pada masa depan.

-- BERNAMA







       Berita Utama Terdahulu