Lelaki cuba larikan kanak-kanak perempuan ditahan polis [ 14m ago ]

Empat polis terbunuh, 12 cedera bom meletup di barat daya Pakistan

Tarikh kemaskini: 14/05/2019
ISLAMABAD, 14 Mei (Bernama) -- Sekurang-kurangnya empat anggota polis terbunuh dan 12 lagi cedera dalam kejadian letupan bom di daerah Quetta di barat daya wilayah Balochistan, Pakistan pada Isnin petang, menurut agensi berita Xinhua.

Jurucakap Hospital Quetta Wasim Baig mengesahkan empat anggota polis terbunuh manakala seorang mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal.

Ketua Polis Daerah Mohsin Hassan Butt berkata, kejadian berlaku ketika anggota polis sedang bertugas di luar masjid yang menjadi tumpuan orang ramai di kawasan bandar satelit Quetta, ibu kota Balochistan.

Katanya, bom dipasang di sebuah motosikal yang diletakkan berhampiran kawasan kejadian, empat kenderaan selain beberapa buah kedai berdekatan turut rosak.

Pegawai tersebut mendakwa sebelum ini polis telah mematikan bom lain yang ditanam berhampiran kawasan terbabit.

Kawasan kejadian telah dikepung dan polis sedang memburu dalang kejadian. Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu.

Perdana Menteri Imran Khan mengutuk serangan itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa serta mengarahkan pihak berkaitan memberikan rawatan terbaik kepada mangsa cedera.

Beliau berkata kerajaan sentiasa berusaha keras untuk memerangi ancaman keganasan di negara itu.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu