Gangguan bekalan air di Shah Alam dan Klang pulih 24 jam [ 10m ago ]

EU mahu AS elak peningkatan langkah ketenteraan terhadap Iran

Tarikh kemaskini: 14/05/2019
BRUSSELS, 14 Mei (Bernama) -- Menteri-Menteri Luar Kesatuan Eropah (EU) menggesa Amerika Syarikat (AS) meredakan ketegangan selain mengelakkan sebarang tindakan ketenteraan dengan Iran, lapor agensi berita Xinhua.

Perkara itu disuarakan diplomat utama EU Federica Mogherini kepada Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo pada Isnin.

"Permintaan itu bukan hanya datang daripada saya seorang, tetapi anggota EU yang lain. Dalam situasi sekarang kita percaya dengan mengawal keadaan dan mengelakkan sebarang peningkatan langkah ketenteraan merupakan jalan terbaik," katanya kepada pemberita dalam satu taklimat.

"Terdapat kesungguhan di pihak EU dan juga semua negara anggota untuk terus melaksanakan sepenuhnya perjanjian nuklear dengan Iran," katanya.

Minggu lepas, Presiden Donald Trump berkata "Apa yang perlu (Iran) lakukan ialah memanggil saya duduk berbincang, kita boleh membuat perjanjian, satu perjanjian yang adil."

Terdahulu pada Isnin pagi di Brussels, Setiausaha Luar British Jeremy Hunt memberi amaran bahawa kebuntuan antara Iran dan AS boleh mencetuskan konflik tidak diingini.

"Kami sangat bimbang ketegangan di antara kedua-dua negara memungkinkan berlakunya konflik," kata Hunt kepada wartawan.

Ketegangan antara kedua-dua pihak memuncak sejak kebelakangan ini, menyaksikan AS mengerahkan kapal pengangkut pesawat penggempur USS Abraham Lincoln dan pasukan pengebom ke wilayah Pusat Kawalan AS.

Ia sebagai mesej jelas kepada rejim Iran, bahawa AS akan bertindak balas ke atas apa jua serangan terhadap kepentingan atau sekutu negara itu.

AS turut menarik diri daripada perjanjian nuklear Iran. Perjanjian itu, disahkan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dicapai pada 2015 antara Iran, China, Perancis, Rusia, Britain, AS dan Jerman.

-- BERNAMA






BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu