Polis tahan tujuh individu termasuk tiga wanita berjudi di tempat awam [ 5m ago ]

Sabotaj kapal tangki: Trump beri amaran

Tarikh kemaskini: 14/05/2019
WASHINGTON, 14 Mei (Bernama) -- Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Isnin memberi amaran kepada Iran, berikutan serangan misteri ke atas empat kapal tangki minyak di kawasan perairan di bandar pelabuhan Fujairah, Emiriah Arab Bersatu (UAE), lapor agensi berita Anadolu.

"Iran akan berdepan masalah jika sesuatu berlaku, itu yang boleh saya katakan. Mereka pasti tidak akan suka dengannya," kata Trump kepada wartawan di Rumah Putih.

Diminta mengulas lanjut mengenai amaran itu, Trump berkata "Anda boleh fikir sendiri. Mereka tahu apa yang saya maksudkan."

Ketika kemelut AS dan Iran memuncak, UAE pada Ahad dilaporkan berkata, empat kapal dagang disabotaj semasa di perairan bandar pelabuhan Fujairah.

Dua daripadanya ialah kapal tangki minyak Saudi, satu milik UAE dan sebuah lagi dipercayai dari Norway.

Bagaimanapun, pihak berkuasa UAE tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai bentuk sabotaj dan pihak mana yang bertanggungjawab melakukan perbuatan itu.

Pelabuhan Fujairah terletak kira-kira 85 km selatan Selat Hormuz di Teluk Parsi, satu pertiga urusan perdagangan minyak dijalankan di kawasan terbabit.

-- BERNAMA






BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu