Lelaki cuba larikan kanak-kanak perempuan ditahan polis [ 14m ago ]

Isu testosteron: atlet olahraga Afrika Selatan, Semenya kemuka rayuan

Tarikh kemaskini: 14/05/2019
JOHANNESBURG, 14 Mei (Bernama) -- Olahraga Afrika Selatan (ASA) akan merayu di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) supaya mempertimbangkan peraturan, atlet wanita yang mempunyai testosteron tinggi diwajibkan mengambil penahan hormon sebelum menyertai pertandingan antarabangsa, lapor agensi berita Xinhua.

Jabatan Sukan membuat pengumuman itu pada Isnin dan mengatakan rayuan adalah untuk memperjuangkan "prinsip dan hak asasi atlet."

Jurucakap Kementerian Sukan, Vuyo Mhaga berkata langkah itu diambil selepas rundingan antara ASA dan panel peringkat tinggi diadakan.

Rayuan itu dibuat selepas CAS memutuskan bahawa Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) perlu meneruskan serta melaksanakan peraturan baharu yang mewajibkan atlet menurunkan atau mengurangkan paras testosteron mereka secara semulajadi.

Pemenang pingat emas Sukan Olimpik Afrika Selatan, Caster Semenya menyifatkan peraturan itu sebagai "tidak sah, diskriminasi dan tidak perlu."

Beberapa atlet wanita Kenya juga tertakhluk dengan peraturan itu.

IAAF mengatakan atlet wanita yang mempunyai tahap testosteron secara semulajadi mempunyai kelebihan dan ia tidak adil terhadap pelari lain.

Peraturan yang berkuatkuasa pada bulan ini itu, tertakhluk untuk acara 400 meter, lari berpagar dan 800 meter, yang kesemuanya dikuasai Semenya.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu