Lelaki simbah cat di masjid dan surau ditahan [ 1h ago ]

Peguam negara AS arah asal-usul dakwaan berkaitan pakatan Rusia dalam kempen Trump diteliti

Tarikh kemaskini: 14/05/2019
MOSCOW, 14 Mei (Bernama) -- Peguam Negara Amerika Syarikat (AS) William Barr telah menugaskan peguam AS di Connecticut, John Durham untuk meneliti asal-usul siasatan terhadap dakwaan terdapat pakatan antara kempen pilihan raya Presiden Donald Trump dan Rusia, lapor agensi berita Sputnik memetik sebuah artikel New York Times.

Menurut laporan media, Trump sudah lama meminta agar langkah itu diambil manakala pegawai penguatkuasa undang-undang menegaskan bahawa siasatan telah dilakukan secara sah.

Durham bertugas sebagai pendakwa raya khas dan telah menyiasat pelbagai salah laku pegawai keselamatan negara, termasuk daripada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Agensi Perisikan Pusat (CIA).

Pada 18 April, Jabatan Kehakiman AS telah mengeluarkan laporan akhir Peguam Khas Robert Mueller terhadap siasatan berhubung dakwaan pakatan antara Rusia dan Trump serta campur tangan Rusia dalam pilihan raya presiden AS pada 2016.

Meskipun laporan itu menyatakan tiada pakatan antara kedua-dua pihak, ia menyebut bahawa Rusia telah cuba campur tangan dalam pilihan raya tersebut.

Jurucakap Kremlin Dmitry Peskov berkata laporan Mueller tidak mempunyai sebarang bukti kukuh untuk menyokong dakwaan bahawa Rusia telah campur tangan dalam proses pilihan raya AS itu.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu